Ancaman bom, empat pesawat mendarat cemas

Sinar Harian
Ogos 17, 2018 12:04 MYT
Orang ramai menunggu untuk mendaftar masuk penerbangan mereka di balai penerbangan Latam Airlines di lapangan terbang di Santiago, Chile, 16 Ogos, 2018. REUTERS
Empat pesawat terpaksa mendarat cemas di Chile dan Peru pada Khamis selepas menerima ancaman bom dikeluarkan pihak berkuasa penerbangan awam di Santiago.
Insiden itu melibatkan dua pesawat LATAM Airlines dan dua pesawat Sky, syarikat penerbangan tambang murah di Chile.
Sky dalam satu kenyataan memaklumkan pesawat ketiga milik mereka juga dilarang meneruskan penerbangan kerana ancaman bom tersebut.
Menurut Direktorat Am Penerbangan Umum (DGAC) dan syarikat penerbangan terbabit, pemeriksaan dilakukan ke atas tiga daripada lima pesawat terbabit tidak menemui sebarang bom dan salah satu daripadanya dibenarkan meneruskan penerbangan.
"Selaras dengan protokol ditetapkan, kakitangan keselamatan lapangan terbang dan polis operasi khas telah melakukan pemeriksaan ke atas penumpang dan bagasi. Mereka tidak menjumpai sebarang alat letupan," jelas DGAC.
Difahamkan, pemeriksaan keselamatan masih dilakukan ke atas pesawat LATAM 800 yang berlepas dari Auckland dan terpaksa mendarat cemas di Santiago.
Penumpang yang terjejas telah dipindahkan ke pesawat lain dan pihak berkuasa tidak menemui sebarang bukti menunjukkan ancaman bom tersebut mungkin berisiko kepada mereka. - Agensi
#ancaman #bom #Chile #keselamatan #LATAM Airlines #letupan #pendaratan cemas #penerbangan #pesawat #Santiago #Sky
;