ANC tubuh kerajaan perpaduan Afrika Selatan - Presiden Ramaphosa

Bernama
Jun 7, 2024 12:00 MYT
Ramaphosa berkata model kerajaan perpaduan nasional akan mengambil kira keadaan semasa di negara itu. - Foto Reuters
JOHANNESBURG: Parti pemerintah Afrika Selatan, African National Congress (ANC), telah bersetuju untuk membentuk kerajaan perpaduan nasional selepas kehilangan majoriti dalam pilihan raya minggu lepas, umum Presiden Cyril Ramaphosa pada Khamis malam.
"Kami telah bersetuju untuk mengundang parti politik lain bagi membentuk kerajaan perpaduan nasional, pilihan terbaik untuk memajukan negara kita," lapor Agensi Anadolu memetik Ramaphosa dalam sidang media selepas mesyuarat sepanjang hari Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan (NEC) parti berkenaan.
Beliau berkata model kerajaan perpaduan nasional akan mengambil kira keadaan semasa di negara itu.
"Tujuan utama kerajaan perpaduan nasional adalah untuk menangani isu-isu mendesak yang dihadapi rakyat Afrika Selatan. Isu-isu ini termasuk penciptaan pekerjaan, pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan kos hidup yang tinggi," katanya.
Ramaphosa turut menyatakan kerajaan perpaduan akan memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan, jenayah dan rasuah, yang merupakan isu utama yang dibangkitkan oleh parti politik dalam pilihan raya.
ANC, yang pernah dipimpin oleh ikon global Nelson Mandela, mendominasi politik Afrika Selatan selama tiga dekad sebelum kehilangan majoriti dalam pilihan raya nasional dan provinsi pada 29 Mei.
Parti tersebut, yang pernah memperoleh lebih daripada 60 peratus dalam semua pilihan raya sejak 1994, kecuali pada 2019 apabila bahagiannya menurun kepada 57.5 peratus, hanya mendapat 40.18 peratus undi kali ini. Ini meletakkannya dalam kedudukan sukar untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Ramaphosa berkata partinya mengakui rakyat Afrika Selatan telah menyuarakan hasrat mereka dalam pilihan raya minggu lalu dan mereka menerima keputusan itu.
"Kami sekarang menyatakan sebagai Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan ANC bahawa kami telah mendengar kebimbangan rakyat Afrika Selatan, mendengar kekecewaan mereka dan mengenali aspirasi mereka," katanya.
Beliau berkata NEC bersetuju bahawa untuk negara berjaya mengatasi cabaran yang dihadapi, terdapat keperluan untuk kerajaan perpaduan dan kerjasama antara parti politik.
"Daripada keputusan pilihan raya ini, jelas bahawa rakyat Afrika Selatan mengharapkan pemimpin mereka bekerjasama untuk memenuhi keperluan mereka. Mereka mengharapkan kami mencari titik persamaan untuk mengatasi perbezaan kami dan bertindak bersama untuk kebaikan semua," katanya.
-- BERNAMA
#Parti pemerintah Afrika Selatan #African National Congress #Cyril Ramaphosa #Kerajaan Perpaduan
;