Anak subahat dengan ayah bunuh ibu kandung
Astro Awani
Januari 28, 2019 15:46 MYT
Januari 28, 2019 15:46 MYT
Seorang bapa yang tidak rela berpisah dengan anak bongsunya sanggup melakukan apa saja agar diberi hak penjagaan penuh zuriatnya itu.
Anak termuda daripada tiga adik-beradik itu menjadi perebutan di antara si ayah Lloyd Neurauter, 45, dan si ibu Michele, 46, yang sudah pun bercerai.
Mereka sering bertelagah tentang hak jagaan anaknya itu biarpun mahkamah telah menetapkan Michele sebagai penjaga yang sah dan Lloyd diberi keizinan melawat anak bongsunya.
Apabila tidak sanggup lagi menanggung beban kewangan membabitkan nafkah anak dan bekas isterinya, Lloyd terus memberikan kata dua kepada anak keduanya Karrie, 14 -- "Bantu ayah bunuh ibu kamu atau ayah bunuh diri."
Bimbang dengan tindakan itu, Karrie yang amat menyanjungi ayahnya bersetuju dan mereka berkomplot untuk membunuh Michele dengan harapan mahkamah akan memberikan hak penjagaan penuh anak bongsunya itu.
Pada 27 Ogos 2017, Karrie dan ayahnya berkunjung ke rumah Michele seperti yang ditetapkan.
Si ayah memperdaya bekas isterinya itu ke tingkat atas dan kemudian mencekiknya hingga mati.
Karrie kemudian membantu ayahnya membuatkan kematian ibunya seolah akibat membunuh diri.
Apabila mayat Michele ditemukan, polis mendapati ada sesuatu yang tidak kena.
Selepas siasatan selama beberapa minggu, polis dikejutkan dengan komplot melibatkan ayah dan anak ini.
Pada Januari 2018, Karrie ditahan di kediamannya di Syracuse, New York. Karrie mengaku penglibatan dia dan ayahnya dalam pembunuhan Michele.
Karrie mengaku salah atas pertuduhan bersubahat membunuh ibunya dan bakal berdepan hukuman penjara 25 tahun. Namun mahkamah menetapkan Karrie bakal dijatuhi hukuman satu hingga tiga tahun atas penglibatannya.
Pada Oktober 2018, Lloyd mengaku bersalah membunuh Michele dengan niat. Dia juga mengaku memujuk anaknya untuk bersubahat.