Anak saudara PM Singapura didapati bersalah hina mahkamah
Agensi
Julai 29, 2020 13:04 MYT
Julai 29, 2020 13:04 MYT
Anak saudara Perdana Menteri Singapura, Li Shengwu didenda SG$15,000 (RM46,250) setelah didapati bersalah atas pertuduhan menghina mahkamah pada Rabu.
Hakim Kannan Ramesh dalam keputusannya berkata Li perlu membayar denda tersebut dalam masa dua minggu atau dipenjara seminggu jika gagal berbuat demikian.
Li didakwa atas pertuduhan memuat naik satu posting secara peribadi di akaun Facebook pada 2017 yang menyatakan bahawa kerajaan Singapura memiliki “sistem mahkamah yang mudah dipengaruhi”.
Kenyataan itu dibuat ketika berlaku pertelingkahan antara anak-anak Lee Kuan Yew, termasuk Perdana Menteri Lee Hsien Long dan bapa Li, Lee Hsien Yang.
Memetik laporan media tempatan, Ramesh menyifatkan muat naik tersebut berunsur “kontroversi” terutamanya dalam konteks ketika kenyataan itu dibuat.
Menurut wakil-wakil Peguam Negara, Li telah dimaklumkan mengenai pendengaran keputusan tersebut namun tidak hadir.
Li turut diarahkan membayar denda berjumlah SG$8,500 untuk kos prosiding serta tambahan SG$8,070 sebagai bayaran untuk perkhidmatan seperti pemfailan dan memproses dokumen-dokumen kes tersebut.
Li bekerja sebagai penolong profesor ekonomi di Universiti Harvard dan menetap di Amerika Syarikat.
#Kannan Ramesh
#Lee Hsien Loong
#Lee Hsien Yang
#Lee Kuan Yew
#Li Shengwu
#mahkamah
#penghinaan
#Singapura