Anak pura-pura mati elak dibunuh ayah sendiri

Agensi
Disember 25, 2017 18:12 MYT
Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun hampir menjadi mangsa amukan ayahnya sendiri dalam insiden bunuh di sebuah rumah di Lumajang, Indonesia pada Sabtu malam. -Pilar Bangsa News
Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun hampir menjadi mangsa amukan ayahnya sendiri dalam insiden bunuh di sebuah rumah di Lumajang, Indonesia pada Sabtu malam.
Kanak-kanak itu, Khoiriyah, terselamat setelah dia pura-pura mati walaupun mengalami luka parah di perut setelah dilibas ayahnya dengan parang.
Namun, nasib tidak menyebelahi ibu kanak-kanak ini, Kholihaf, 35 tahun, apabila menjadi mangsa korban suaminya sendiri yang tiba-tiba mengamuk dalam kejadian menyayat hati itu, malam tadi.
Lelaki tersebut, Mujiano, 40 tahun, kemudian bertindak membunuh diri menggunakan parang sama yang digunakan untuk membunuh dan mencederakan isteri dan anaknya.
Khoriyah yang berjaya keluar dari rumah pagi Ahad meminta pertolongan penduduk berdekatan sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan.
Menurut laporan portal Indonesia, Mujiano dipercayai sudah lama mengalami gangguan jiwa, namun tidak diketahui punca yang menyebabkan dia bertindak demikian terhadap anak dan isterinya.
Penduduk yang berkejar ke rumah Mujiono menemukan dua jasad bersimbah darah dengan kesan luka di tubuh.
Sementara itu, Khoiriyah dilaporkan masih trauma namun berada dalam keadaan stabil setelah menerima 15 jahitan di perutnya.
#bunuh #gangguan jiwa #Indonesia #Kanak-kanak #Khoiriyah #Kholihaf #Mujiano
;