Anak pertama Jokowi nafi pemilik akaun kritik Prabowo

Astro Awani
September 12, 2024 08:10 MYT
Gibran menafikan dakwaan beliau adalah pemilik sebuah akaun tidak dikenali bernama 'Fufufafa' yang sering mengkritik Presiden terpilih Indonesia, Prabowo. - Foto fail/AP
JAKARTA: Naib Presiden terpilih Indonesia, Gibran Rakabuming Raka menafikan dakwaan rakyat Indonesia yang mendakwa beliau adalah pemilik sebuah akaun tidak dikenali bernama 'Fufufafa' di platform Kaskus, sebuah forum dalam talian terbesar di Indonesia.
Menurut media tempatan, akaun tersebut sering mengkritik Presiden terpilih Indonesia, Prabowo Subianto, semasa Pemilihan Umum (Pemilu) republik itu pada 2014.
Pada tahun tersebut, Prabowo Subianto merupakan salah seorang pesaing utama kepada Presiden Jokowi dalam Pemilu.
Ketika ditanya wartawan berhubung perkara itu di Solo, Jawa Tengah pada Selasa, Gibran yang menjawab dalam bahasa Jawa meminta mereka bertanyakan kepada pemilik akaun sebenar.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Informatika (Menkominfo) Budi Arie Setiadi pada Selasa mengesahkan bahawa akaun Kaskus 'Fufufafa' yang menjadi perhatian ramai bukan milik Gibran.
Tegas Budi, akaun tersebut tidak ada kaitan dengan Gibran.
Jelasnya, akaun tersebut telah lama beroperasi dan pihaknya telah melakukan siasatan serta mendalami isu berkaitan akaun tersebut.
Akaun tersebut menjadi sorotan di media sosial, khususnya di platform X, setelah beberapa pengguna berkongsi sejumlah hantaran dari akaun tersebut.
Dalam tangkapan layar yang tersebar, seorang pengguna Kaskus mendakwa Presiden Jokowi menyembunyikan anak pertamanya, Gibran.
Tuduhan itu mendapat respon daripada akaun Fufufafa, membalas dakwaan tersebut dengan kata-kata kesat dan mengajak pengguna akaun tersebut bersemuka.
Ia sekaligus menguatkan dakwaan netizen bahawa akaun Fufufafa merupakan milik Gibran.
Selain kritikan keras terhadap Prabowo, akaun tersebut juga memuatkan pelbagai jejak digital lain termasuk hantaran yang memaparkan nama akaun peribadi milik Gibran di X, yang dulunya dikenali sebagai Twitter dan beberapa hantaran lain bersifat gangguan seksual terhadap selebriti wanita Indonesia.
#Gibran Rakabuming Raka #Fufufafa #kaskus #Prabowo Subianto
;