Anak perempuan gesa Berlin selamatkan bapa dijatuhi hukuman mati di Iran
Bernama
Mei 17, 2023 18:42 MYT
Mei 17, 2023 18:42 MYT
BERLIN: Anak perempuan warga Jerman-Iran Jamshid Sharmahd, yang dijatuhi hukuman mati di Iran, menuntut Berlin mencari penyelesaian dengan Tehran untuk menyelamatkan bapanya, lapor agensi berita Jerman (dpa).
"Dalam kes bapa saya, yang kini hampir dihukum mati, tiada cara lain selain mencari penyelesaian dengan kerajaan (Iran)," Gazelle Sharmahd memberitahu Welt-TV pada Rabu dari Los Angeles.
Kerajaan Iran memaklumkan keluarganya dari awal bahawa mereka akan menjadikan bapanya kelihatan sebagai pengganas supaya mereka boleh menukarnya dengan orang lain.
"Mereka mahu pengganas mereka di Belgium dilepaskan. Mereka memberitahu kami dengan jelas pada setiap kali," katanya.
Mahkamah Iran pada Februari menjatuhi hukuman mati ke atas seorang warga Iran-Jerman berusia 68 tahun kerana dituduh bertanggungjawab atas satu serangan keganasan.
Ahli keluarga dan aktivis hak asasi manusia menyifatkan tuduhan itu tidak berasas dan mengkritik perbicaraan itu sebagai sangat tidak adil. Hukuman matinya disahkan pada akhir April oleh Mahkamah Agung Iran.
Gazelle Sharmahd memberitahu Welt-TV bahawa keluarganya tidak tahu di mana ayahnya berada, atau bagaimana keadaan ayahnya.
"Apa yang kami tahu ialah dia diseksa di penjara selama lebih 1,000 hari."
Menurut bapanya pihak berkuasa mahu "menggantungnya dari sebuah kren di khalayak ramai".
Sementara itu Menteri Luar Jerman Annalena Baerbock menggesa Tehran membatalkan keputusan mahkamah yang didakwa "sama sekali tidak boleh diterima" dan dibuat sewenang-wenangnya.
Namun Gazelle Sharmahd mendakwa tindakan Baerbock mengutuk langkah Iran tidak akan mengubah pendirian Tehran.
Jamshid Sharmahd ditangkap oleh perisikan Iran di Dubai pada 2020 dan dibawa ke Iran. Dia ditahan di Tehran sejak itu. Sebelum ini, beliau tinggal di Amerika Syarikat selama bertahun-tahun.
-- BERNAMA