Anak perantauan di Beijing sambut 1 Syawal penuh kesederhanaan
Bernama
Julai 6, 2016 17:29 MYT
Julai 6, 2016 17:29 MYT
Kedatangan 1 Syawal hari ini disambut sederhana dan penuh kesyukuran oleh umat Islam di negara Tembok Besar China selepas sebulan menjalani ibadah puasa.
Seawal 8 pagi, umat Islam mula berkumpul di perkarangan masjid Niujie, iaitu masjid tertua di kota Beijing. Terletak di daerah Xuanwu, ia merupakan kawasan kejiranan yang dihuni lebih 10,000 umat Islam.
Suasana Hari Raya Aidilfitri atau lebih dikenali dalam bahasa Mandarin 'kai zai jie kuai le' lebih dirasai di kawasan Niujie dan ribuan umat Islam membanjiri perkarangan masjid pagi ini untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Ma Xinxin, 29, penduduk etnik Hui asal Beijing, berkata raya tahun ini lebih meriah dan beliau agak terkejut dengan kehadiran orang ramai untuk menyambut Hari Lebaran.
"Tiada cuti (raya) di Beijing dan agak terkejut kerana ramai yang turut datang ke masjid untuk solat berjemaah awal pagi ini," katanya kepada Bernama ketika tinjauan, di sini hari ini.
Bagi rakyat Malaysia yang berada di sini, sudah pasti merindui suasana hari raya di tanah air bersama keluarga dan sanak-saudara, majlis rumah terbuka serta pelbagai juadah enak yang disediakan.
Namun begitu, Zaid Shafie, 22, mengungkapkan rasa syukur dan teruja kerana buat pertama kali keluarganya datang ke kota Beijing untuk menyambut hari raya bersama-sama beliau.
"Bagaimanapun, rindu beraya tetap di tanah air," kata Zaid, yang turut dikenali Zhang Mude.
Pelajar tahun ketiga pengajian bahasa Mandarin di Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU) itu berkata meskipun jauh di perantauan, Aidilfitri tetap disambut meriah, dan ia lebih bermakna apabila ibu beliau, Aisyah Kassim, turut membawa kuih raya dan rendang ke Beijing.
Aisyah, 49, berkata pengalaman pertama berpuasa dan menyambut hari raya di perantauan agak menyeronokkan meskipun kemeriahannya tidak sama seperti di Malaysia.
"Dua belas ahli keluarga dan saudara tiba di kota Beijing dua hari sebelum raya...sempat juga rasa berpuasa 17 jam dan solat tarawih yang agak terkejar-kejar," katanya.
Bagi Mashitah Hidir, 20, pelajar tahun kedua pengajian bahasa Mandarin di BFSU, beliau memilih untuk beraya di perantauan untuk merasai kelainan budaya, suasana serta adat umat Islam di China.
"Suasana beraya di Beijing dan Malaysia memang sangat berbeza. Saya merindui kemeriahan menziarahi rumah sanak-saudara, rumah terbuka serta pelbagai kuih raya.
"Saya ingin mengucapkan salam raya kepada ibu bapa serta adik-beradik di Gerik, Perak dan raya sayu kerana tidak dapat mencium tangan ibu bapa di pagi raya," katanya.