Anak Pengerusi Korean Air dipenjara setahun
AFP
Februari 12, 2015 20:45 MYT
Februari 12, 2015 20:45 MYT
Anak perempuan kepada Pengerusi Korean Air telah dijatuhkan hukuman penjara selama setahun pada Khamis kerana kemarahan yang melampau yang telah mencetuskan kontroversi ke atas syarikat penerbangan tersebut.
Cho Hyun-ah telah disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Daerah di Seoul kerana melanggar undang-undang keselamatan penerbangan apabila memaksa pesawat yang sedang bergerak di landasan berpatah balik ke pintu perlepasan pada 5 Disember tahun lalu.
Ketika kejadian, penerbangan tersebut dijadualkan berlepas dari New York ke Seoul.
Hyun-ah yang juga merupakan Naib Presiden Eksekutif syarikat penerbangan itu pada masa itu, telah mengugut untuk memecat ketua kru kabin hanya kerana dia telah dihidangkan snek kacang di dalam bungkusan dan bukannya di dalam mangkuk.
"Tindakan wanita berusia 40 tahun itu seolah-olah menjadikan pesawat tersebut pesawat peribadinya. Dia juga memperlakukan kru-kru kabin sebagai hamba dan gagal menunjukkan rasa hormat," kata Hakim Oh Sung-woo.
Sung-woo menambah kes tersebut kini menjadi satu bahan jenaka antarabangsa dan telah merosakkan ‘maruah negara’.
"Saya mohon maaf atas apa yang telah saya lakukan, saya gagal mengawal kemarahan," kata Hyun-ah dalam surat mohon maaf yang dibacakan hakim.
Ketua pramugara, Park Chang-jin berkata ketika kejadian, Hyun-ah telah memaksanya berlutut dan meminta maaf sambil memukulnya dengan buku manual perkhidmatan.
Pendakwa Raya dalam perbicaraan itu telah meminta hukuman tiga tahun, tetapi Hakim Sung-woo berkata, dia telah mengambil kira bahawa tiada sesiapapun terjejas dalam kejadian tersebut serta Hyun-ah mempunyai dua anak dan reputasi peribadinya telah tercemar.
Tidak dapat dipastikan sama ada Hyun-ah memilih untuk merayu dalam kes tersebut.