Anak mungkin saksi bapa cekik, bunuh dan masak anggota badan ibu
Agensi
Januari 26, 2018 08:01 MYT
Januari 26, 2018 08:01 MYT
MISTERI kehilangan seorang pakar pemakanan akhirnya terungkai apabila dia dibunuh dengan kejam selain bahagian badannya dipercayai dimasak oleh bekas suaminya.
Selain dibunuh, wanita yang dikenali sebagai Magdalena Aguilar Romero, 25 tahun itu dikatakan turut dicekik sebelum dibunuh di rumah bekas suaminya di Taxco, Mexico, lapor pihak berkuasa.
Magdalena dikatakan hilang selepas pergi ke rumah bekas suaminya untuk mengambil dua anak mereka.
Peguam Negara Guerrero, Xavier Olea berkata pada Rabu bahawa kaki dan lengan wanita itu ditemui pada periuk di atas dapur rumah terbabit manakala tulang pelvis yang dipercayai juga telah 'dimasak' dimasukkan di dalam beg.
Bahagian badan lain wanita itu ditemui di peti sejuk, kata pendakwa raya.
Lebih mengejutkan apabila anak pasangan itu dipercayai menjadi saksi kepada kejadian terbabit.
Olea berkata, bekas suami mangsa kini masih bebas manakala ibu lelaki itu yang tinggal bersamanya telah ditahan.
Polis berkata, jenayah itu dilakukan kerana mangsa adalah perempuan.
Kerajaan Taxco berkata dalam satu kenyataan mengutuk keras pembunuhan Magdalena Aguilar kerana menimbulkan rasa tidak senang masyarakat.
"Dari hari pertama Magdelena hilang kita seperti sudah membuat jangkaan dan kita sentiasa berada di belakang keluarganya sebagai tanda sokongan," katanya.