Anak muda selawat, zikir guna bas KL Hop-On Hop-Off

Sinar Harian
April 8, 2024 07:45 MYT
Sekumpulan anak muda yang mengambil peluang mengimarah Ramadan dengan mengalunkan selawat dan zikir menggunakan bas KL Hop-On Hop-Off di sekitar Kuala Lumpur.
SHAH ALAM: Sekumpulan anak muda yang mengambil peluang mengimarahkan Ramadan dengan mengalunkan selawat dan zikir menggunakan bas KL Hop-On Hop-Off di sekitar Kuala Lumpur menarik perhatian ramai.
Menerusi perkongsian video di aplikasi TikTok, didapati warga kota yang berada di sepanjang jalan yang dilalui mereka turut teruja melihatnya.
Antara tempat yang dilalui kumpulan itu termasuklah Bukit Bintang, Pavilion, Menara Kuala Lumpur dan KLCC.
Semangat Ramadan yang dibawa anak muda tersebut dilihat menyebarkan impak positif kepada penonton dan masyarakat dengan bermunajat memuji kebesaran Allah SWT.
Dengan menggunakan bas dua tingkat berhawa dingin berserta dek atas yang terbuka, lontaran alunan zikir kumpulan berkenaan memecah keheningan malam yang dipenuhi orang ramai membeli belah dalam membuat persiapan Aidilfitri sekitar kawasan terbabit.
Ibadah selawat sangat digalakkan dan dituntut untuk dilakukan oleh umat Islam kerana ia mendoakan kesejahteraan ke atas junjungan besar Rasulullah SAW, sekali gus memperoleh pahala ibadah.
Terlalu banyak kelebihan dan kebaikan yang bakal diperoleh bagi orang yang sentiasa berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, antaranya dituliskan oleh Malaikat sepuluh kebaikan atas setiap selawat, dihapuskan ALLAH sepuluh kejahatan atas setiap selawat, segala doa akan diperkenankan, mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW dan mendapat keampunan serta akan ditutup segala keaiban. - Sinar Harian
#selawat #zikir #KL Hop-On Hop-Off #jendela ramadan
;