Anak menteri Indonesia dinamakan suspek kes rasuah pembelian 'jumbotrons'
Agensi
Mei 17, 2014 11:29 MYT
Mei 17, 2014 11:29 MYT
Selepas lebih setahun siasatan dijalankan, pendakwaraya Indonesia akhirnya menamakan Riefan Afrian, sebagai suspek kepada kes rasuah membabitkan pembelian sebuah paparan televisyen gergasi atau jumbotrons bernilai Rp 23 bilion (RM 6.8 juta).
Riefan juga adalah anak kepada Menteri Koperasi dan Industri Kecil dan Sederhana Indonesia, Syariefuddin Hasan, kementerian yang dikaitkan dengan skandal itu.
Menurut laporan Jakarta Post, perkara itu didedahkan dalam sidang media yang diadakan oleh Adi Toegarisman, jurucakap dari Pejabat Pendawaraya Jakarta.
Adi berkata hasil siasatan jelas menjurus kepada pembabitan Riefan yang juga menguasai syarikat PT Imaji Media, syarikat yang memenangi tender pembelian yang dikeluarkan pada 2012.
Reifan juga didapati melantik pemandunya, Hendra Saputra sebagai pengarah presiden syarikat PT Imaji Media. Hendra ketika ini sedang menghadapi perbicaraan berhubung peranannya dalam skandal itu.
Manakala Riefan pula adalah presiden kepada syarikat PT Rifuel, syarikat yang turut bersaing untuk mendapatkan tender itu tetapi gagal.
Reiefan akan didakwa di bawah artikel 2 dan 3 Undang-undang Rasuah 2001 Indonesia, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun penjara dan denda Rp 1 bilion.
Pihak pendakwaraya turut memohon Pejabat Peguam Negara itu agar mengenakan sekatan perjalanan ke luar negara buat Riefan.
Kes itu didedahkan oleh agensi Audit Negara republik itu yang mendapati terdapat banyak perlanggaran undang-undang dalam penganugerahan tender itu yang menyebabkan Indonesia kehilangan lebih 6.8 juta ringgit.
Meskipun begitu kementerian terbabit tetap mengatakan projek terbabit telah menemui kejayaan.
Hendra telah ditahan pada Oktober 2013 di Samarinda.
Sementara itu Syarief ketika mengulas mengenai dakwaan rasuah anaknya itu, berkata biarlah proses undang-undang dijalankan.
Pendakwaraya juga menafikan pendakwaan bermotifkan politik.