Anak masih di penjara, Shah Rukh Khan, isteri tidak mahu sambut ulang tahun perkahwinan tanpa Aryan
Astro Awani
Oktober 26, 2021 15:30 MYT
Oktober 26, 2021 15:30 MYT
MUMBAI: Bintang filem Bollywood Shah Rukh Khan dan isterinya, Gauri Khan dilaporkan tidak akan menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-30 pada Isnin depan.
Portal berita news18.com pada Selasa melaporkan, ‘pembatalan’ sambutan ulang tahun pasangan itu bertitik-tolak daripada tangkapan anak mereka, Aryan Khan yang kini berada dalam tahanan selepas diberkas Biro Kawalan Narkotik (NCB) pada 3 Oktober lalu.
Gauri dilaporkan, sebelum ini, telah bernazar dengan melarang pengambilan gula atau memasak manisan di kediaman mereka sehingga Aryan dibebaskan.
Sementara itu Aryan pula dilaporkan kini menghabiskan banyak masanya membaca buku di perpustakaan Penjara Arthur Road di Mumbai, India, tempat dia ditahan.
Menurut pihak pentadbir penjara, Aryan dikhuatiri bersedih dan murung selepas permohonan jaminannya ditolak mahkamah pada 20 Oktober lalu. Bimbang dengan keadaannya, pihak penjara menasihatkannya untuk membaca bagi menghabiskan masa terluang dengan pemantauan pegawai penjara.
BACA: Saya tidak akan bercakap untuk mereka seperti Aryan Khan yang ayahnya 'berkuasa' - Asaduddin Owaisi
Sebelum ini, Shah Rukh dan Gauri turut dilaporkan telah mengirimkan wang untuk perbelanjaan Aryan di penjara kerana makanan dari rumah tidak dibenarkan dibawa masuk ke penjara itu.
Hari ini, Aryan yang sudah berada dalam tahanan selama lebih tiga minggu dijadualkan hadir ke Mahkamah Tinggi Bombay untuk permohonan jaminan. Permohonan Aryan disenarai kes ke-57.