Anak Mas Selamat ditahan di bawah ISA di Singapura
Astro Awani
Januari 9, 2014 19:18 MYT
Januari 9, 2014 19:18 MYT
Kementerian Dalam Negeri Singapura menahan anak kepada pemimpin Jemaah Islamiyah negara itu, Mas Selamat Kastari selama dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Dalam satu kenyataan hari ini seperti dipetik oleh Channel News Asia, kementerian itu memaklumkan Masyhadi Mas Selamat, 25, ditahan pada 21 November tahun lalu.
Masyhadi sebelum itu ditangkap di Indonedia pada 20 Oktober tahun lalu kerana penglibatannya dalam Jemaah Islamiyah yang dikategorikan sebagai pertubuhan pengganas.
Dia diserahkan kepada pihak berkuasa Singapura pada 30 Oktober.
Mas Selamat menggemparkan rantau ini lima tahun lalu setelah bolos daripada Pusat Tahanan Whitley Road di Singapura pada 27 Februari 2008. Dia jadi orang buruan selama lebih setahun sebelum ditangkap oleh Polis Diraja Malaysia di Skudai, Johor pada 1 April 2009.
Mas Selamat diserahkan semula kepada pihak berkuasa Singapura pada 24 September 2010 dan sejak itu ditahan di bawah ISA.
Menurut kementerian itu lagi, Masyhadi menuntut di madrasah di Indonesia sejak berumur 13 tahun.
Dia dikatakan diasuh dengan ajaran radikal Jemaah Islamiyah dan melalui latihan separa tentera di Indonesia apabila meningkat dewasa.
Dia kemudian menjadi anggota Jemaah Islamiyah secara rasmi apabila mengangkat sumpah taat setia semasa berumur 21 tahun.
Masyhadi juga dikatakan telah melakukan aktiviti pengintipan dan menyebarkan propaganda radikal Jemaah Islamiyah melalui Internet.
Kementerian Dalam Negeri Singapura turut memaklumkan dua lagi rakyat Singapura dikenakan perintah sekatan di bawah ISA selama dua tahun bermula Disember tahun lalu.
Dua tahanan itu, Zakaria Rosdan, 23, dan Muhammad Khairul Sofri Osman, 29, dikatakan telah terpengaruh menjadi radikal selepas mencari maklumat dan menonton video dan laman web radikal.
Zakaria dikatakan cuba menghubungi sejumlah pergerakan militan antarabangsa dalam usaha menyertai mereka dan cuba masuk ke zon konflik.
Kementerian itu menambah Khairul pula memberikan galakan dan membantu Zakaria dalam usahanya itu.
Mereka yang dikenakan perintah sekatan dikehendaki mematuhi beberapa peraturan termasuk tidak keluar dari Singapura tanpa kebenaran daripada Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.
Menurut Kementerian Dalam Negeri itu lagi, ia membebaskan seorang bekas tahanan ISA pada 15 Disember lalu selepas berpuas hati tahanan itu tidak lahi mendatangkan ancaman yang memerlukan tahanan pencegahan.
Dia bagaimanapun dikenakan perintah sekatan pada hari yang sama.
Mohd Azmi Ali, yang ditahan pada Disember 2009 merupakan anggota Jemaah Islamiyah yang berlindung di luar negara bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa Singapura.
Kementerian itu juga memaklumkan perintah sekatan ke atas enam lagi anggota Jemaah Islamiya yang lain dibiarkan luput setelah mereka memberikan kerjasama dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan.