Anak Malaysia pemenang siri terbaharu The Great British Bake Off

Agensi
November 16, 2022 18:25 MYT
Syabira yang berpindah ke Britain pada 2013 untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD, diumumkan sebagai pemenang musim 13 program popular, The Great British Bake Off. - Gambar Facebook The Great British Bake Off
KUALA LUMPUR: Seorang penyelidik kardiovaskular yang berasal dari Malaysia, Syabira Yusoff telah memenangi musim ke-13 program popular, The Great British Bake Off.
Wanita berusia 32 tahun itu, yang berpindah ke Britain pada 2013 untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD diumumkan sebagai pemenang pada episod akhir pada malam Selasa, menewaskan Abdul Rehman Sharif, 29, dan Sandro Farmhouse, 30.
Syabira berkata, kemenangan itu adalah pencapaian terbesar dalam hidupnya, sambil memaklumkan dia mencipta resipi pada pukul 5 pagi dan merujuk Instagram dan Pinterest bagi mendapatkan inspirasi.
“Semua kerja keras, percubaan dan kesilapan, semuanya berbaloi. Saya sangat berbangga,” kata penyelidik di King’s College London, yang mula membuat kek pada 2017 bagi melepaskan rasa rindu pada kampung halaman.
Merupakan peserta kegemaran peminat sejak awal, Syabira digambarkan sebagai seorang pembuat kek yang unik dengan memberi rasa Malaysia kepada masakan klasik British, seperti menggunakan rendang ayam dalam Cornish pasties.
“Ada beberapa rasa yang kami tidak pernah temui sebelum ini dan tidak mungkin akan temui lagi. Dia seorang pembuat kek yang luar biasa," kata salah seorang juri rancangan itu, chef selebriti Paul Hollywood.
Untuk cabaran penutup, Syabira mereka 'arca' orang utan besar yang memegang hutan hujan, sesuai dengan tema Our Beautiful Planet.
Ia diperbuat daripada lapisan shortbread tarragon dan Genoese sponge berperisa lada hitam dengan sandwich jem beri hitam.
“(Arca) Orang utan itu bijak. Ia bukan hasil paling kemas yang pernah saya lihat, tetapi rasanya sangat hebat," tambah Hollywood lagi.

The moment Syabira was named winner of The Great British Bake Off 2022. #GBBO pic.twitter.com/cDniy1SUrc

— British Bake Off (@BritishBakeOff) November 15, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#syabira yusoff #the great british bake off #pemenang #GBBO
;