Anak hilang kembali ke pangkuan keluarga selepas 24 tahun
Agensi
April 4, 2018 19:06 MYT
April 4, 2018 19:06 MYT
Pencarian sepasang suami isteri di sini untuk menjejaki anak perempuan mereka sejak 24 tahun lalu akhirnya menemui noktah dengan satu pertemuan pada Selasa.
Wang Mingqing dan isterinya Liu Dengying melancarkan usaha mencari anak mereka Qifeng sejak kanak-kanak itu hilang ketika berusia tiga tahun pada 1994.
Mingqing menjadi pemandu teksi, dengan harapan satu hari nanti, anaknya yang hilang itu menjadi penumpang.
Usaha tanpa jemu itu terbayar, apabila anak pasangan itu menghubungi mereka awal tahun ini, selepas terbaca kisah kehilangannya di internet.
Kisah ini menyentuh rakyat China, dengan majoriti daripada mereka turut sama meraikan penyatuan semula keluarga ini.
Wang Mingqing dan Liu Dengying merupakan penjual buah di sebuah gerai yang terletak di tepi jalan di barat daya bandar Chengdu.
Pada satu hari ketika sibuk dengan jualan, Mingqing kehabisan wang tukaran dan berlari ke gerai berhampiran bagi menukar wang kecil untuk pelanggan.
Sekembalinya dia dari gerai berhampiran beberapa minit kemudian, kelibat Qifeng tidak lagi kelihatan.
Mingqing dan isterinya menghabiskan sisa hidup mereka beberapa tahun kemudian mencari Qifeng di bandar Chengdu dan kawasan sekitar.
Kehilangan anak mereka diiklankan di akhbar dan ia turut dimuatkan di atas talian.
Pasangan itu yang mempunyai seorang lagi anak perempuan dan anak lelaki, tidak pernah meningalkan Chengdu, dengan harapan Qifeng akan pulang mencari mereka.
Pada 2015, Mingqing memperluaskan usaha pencarian.
Kali ini dengan menjadi pemandu teksi dan kesempatan itu digunakan dengan meletakkan poster besar di keretanya.
Setiap penumpang yang menaiki teksi Mingqing turut diberikan kad nama, untuk membolehkan dia dihubungi sekiranya mereka mengesan Qifeng.
Pasangan itu tidak mempunyai gambar Qifeng, dan mereka memutuskan untuk meletakkan gambar seorang lagi anak mereka yang kelihatan seakan-akan sama.
Selama beberapa tahun, polis China mengenal pasti beberapa wanita yang dipercayai Qifeng, namun ujian DNA membuktikan sebaliknya.
Tahun lalu, pelukis lakaran polis terbaca kisah pasangan ini dan mahu membantu dengan menghasilkan lakaran wajah Qifeng yang kini dewasa.
Lakaran itu kemudian disebarkan di internet dan menyebabkan seorang wanita bernama Kang Ying terkejut kerana ia menyerupai wajahnya.
Media China melaporkan wanita ini dibesarkan keluarga angkat, 20 kilometer dari lokasi kehilangannya.
Menurut keluarga angkatnya, mereka menemui Qifeng berseorangan di tepi sebatang jalan di Chengdu.
Kang Ying menghubungi Mingqing awal tahun ini, dan mendapati dia berkongsi beberapa perkara yang sama yang diceritakan bapanya, termasuk parut kecil di kepala.
Ujian DNA juga akhirnya menjawab penantian pasangan Wang Mingqing dan Liu Dengying selama lebih 20 tahun.
Kang Ying sah Qifeng yang hilang 24 tahun lalu.