Anak Gabenor Jawa Barat masih belum ditemui di Sungai Aare, Switzerland
Agensi
Mei 30, 2022 18:54 MYT
Mei 30, 2022 18:54 MYT
MASUK hari kelima, usaha mencari dan menyelamat Emmeril Kahn Mumtadz iaitu anak lelaki Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil, yang hanyut di Sungai Aare, Bern, Switzerland pada Khamis lalu masih giat dijalankan.
Pada malam Ahad (29 Mei), pencarian itu belum membuahkan hasil susulan peningkatan tahap kekeruhan air yang berpunca daripada proses pencairan salji, lapor portal Kompas.com.
Berdasarkan kenyataan dari Kedutaan Besar Indonesia di Bern, kerja pencarian dilakukan dengan menggunakan perahu dan alat pengesanan bawah air, dengan tumpuan dilakukan di lokasi yang berpotensi mempertemukannya.
Selain kaedah pencarian menyusuri tebing sungai dan menggunakan bot, media antarabangsa melaporkan usaha pencarian sudah dipertingkat dengan penggunaan dron selain melibatkan anggota polis, polis marin, pasukan penyelam dan bomba.
Pada hari kejadian, Emmeril bersama adiknya, Zara dan seorang lagi teman mereka sedang berenang di Sungai Aire. Mereka memilih lokasi yang turut didatangi warga setempat pelbagai lapisan usia.
Bapa saudara Emmeril, Elpi Nazmuzaman, yang bercakap bagi pihak keluarga Ridwan memberitahu, Emmeril turun ke sungai paling awal dan paling akhir ke tebing bagi memastikan adik dan temannya selamat.
Namun begitu, dia tiba-tiba dihanyutkan arus dan sempat berteriak meminta tolong. Jeritannya itu didengari khalayak yang berada di lokasi berkenaan yang segera melaporkan ke pihak berkuasa keselamatan.
Difahamkan, Emmeril berada di Switzerland untuk mencari institusi pendidikan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana, sementara bapanya, Ridwan, ketika kejadian, sedang melakukan lawatan kerja di England bersama delegasi pejabat pentadbiran Jawa Barat.
Media Switzerland pernah melaporkan bahawa Sungai Aare mempunyai musim tertentu untuk melakukan aktiviti riadah akuatik dengan selamat. Arusnya boleh menjadi keruh dan deras ketika salji mula mencair.
Lazimnya, pelancong asing yang menjadi mangsa dihanyutkan arus atau lemas kerana tidak mempunyai maklumat yang betul tentang situasi sungai berkenaan, berbanding warga tempatan.
Sementara itu, di akaun Instagram rasmi Ridwan Kamil, menunjukkan hantaran terakhir padalah pada tiga hari lalu ketika beliau sedang melakukan kerja rasmi di University of Lancaster, England. Pada bahagian komennya, dipenuhi ribuan ucapan pengikutnya yang meminta Ridwan tabah dan bersabar serta berharap agar anak lelaki sulungnya itu dapat segera ditemui.
Ridwan dan keluarganya kini terus berada di lokasi untuk memantau usaha pencarian anaknya itu.