Anak anjing mata satu
Agensi
Februari 5, 2020 18:17 MYT
Februari 5, 2020 18:17 MYT
Seorang kakitangan kerajaan terkejut apabila melihat seekor anak anjing yang baru dilahirkan hanya mempunyai satu mata di bahagian tengah muka dalam kejadian di Chachoengsao, Thailand.
Pemilik Somjai Phummaman, 45, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila ibu anjing yang melahirkan dua ekor anak di dalam sebuah bilik, lapor Daily Mail.
Dia kemudiannya meletakkan ibu dan anak-anak anjing itu ke dalam bakul sebelum terkejut melihat seekor daripadanya memiliki satu mata sahaja.
Phummaman berkata, jirannya yang teruja mahu melihat keunikan anak anjing menyamakan anak anjing itu dengan watak animasi popular Minions.
Kelahiran anak anjing pada Ahad lalu sehingga kini menunjukkan perkembangan positif namun perlu minum susu menggunakan botol.
"Kami berharap anak anjing itu selamat walaupun mengalami kecacatan. Kami mahu menjaga dia sebagai haiwan kesayangan sehingga membesar dengan sihat.
"Semua orang kagum melihatnya dan mengatakan keunikan memiliki mata satu pastinya membawa tuah.
"Kami masih tidak jelas jika mata tunggal anjing berfungsi dengan baik kerana deria penglihatan anak anjing akan berkembang sepenuhnya dalam tempoh dua bulan." katanya.
Katanya, setakat ini dia belum bersedia menjual anak anjing itu walaupun mendapat permintaan daripada rakan-rakannya.
"Saya dan keluarga tidak akan menjual anak anjing ini. Kami mahu melihat anak anjing ini membesar di depan mata kami," katanya.
Sebelum ini tular di laman sosial, video berdurasi 1 minit 35 saat memaparkan dua ekor anak anjing dan salah satunya memiliki mata satu di bahagian tengah mukanya.
Video itu menarik perhatian netizen yang menyifatkan anak anjing itu luar biasa. - Agensi