Anak-anak Gaza tabah hadapi dugaan
Bernama
Disember 6, 2012 12:04 MYT
Disember 6, 2012 12:04 MYT
Serangan rejim Zionis keatas bumi Gaza di Palestin sesekali tidak melemahkan semangat kanak-kanaknya untuk terus menimba ilmu dan mendapatkan pendidikan.
Mereka percaya bedilan roket dan serangan jet pejuang Israel adalah sebahagian dari asam garam kehidupan yang perlu dilalui dengan penuh ketabahan.
Menurut guru mereka, Zainab Belbash selagi sekolah tidak digempur, mereka ingin terus belajar dan tidak akan berganjak.
“Hari-hari peperangan kami sudah bersedia dan menerima keadaan yang berlaku dengan penuh gembira dan bersemangat. Kami tetap belajar. Mereka yang jauh kami jemput ke sekolah dengan bas."
Tambah beliau, pendidikan berterusan mampu melahirkan generasi muda bersemangat waja dan rela berkorban untuk memerdekakan negara.
Pelakon, pengarah dan penyanyi Afdlin Shauki yang bersama-sama Astro Awani melawat sekolah ini sependapat, semangat yang ada perlu terus dibaja.
“Ramai anak di sini semuanya macam sangat bijak, pintar dan kita harus bantu mereka, beri peluang kepada mereka.”
Serangan Israel baru-baru ini menyebabkan sekurang-kurangnya 30 buah insititusi pendidikan di Gaza rosak teruk.
Antara yang musnah adalah 3 buah sekolah.