Amuk askar Thailand: Wanita kongsi detik cemas terselamat daripada ditembak

Isabelle Leong
Februari 8, 2020 06:34 MYT
JEERAWATTANASUK: Kami sungguh takut dan berlari untuk bersembunyi di dalam bilik mandi.
Gemparnya Sabtu malam apabila seorang tentera Thailand melepaskan tembakan di Nakhon Ratchasima, di timur laut Thailand yang membunuh sekurang-kurangnya 20 mangsa.
Suspek yang dikenal pasti sebagai Sarjan Mejar Jakraphanth Thomma masih bebas dan berada di dalam sebuah pusat beli-belah serta dipercayai menahan beberapa tebusan.
Susulan itu, seorang saksi tampil menceritakan detik cemas yang dilalui ketika tembakan rambang tersebut berlaku.
Sumana Jeerawattanasuk yang masih terkejut berkata ketika insiden tembakan berlaku, dia berada di dalam gimnasium di pusat beli-belah berkenaan.
Katanya kepada Associated Press (AP), jurulatih membawanya dan beberapa yang lain bersembunyi di dalam bilik mandi gim.
“Kami sungguh takut dan berlari untuk bersembunyi di dalam bilik mandi.
“Jurulatih memberitahu kami untuk berselindung di dalam bilik mandi. Jadi kami mengikutnya,” katanya.
Jeerawattanasuk berkata mereka berada di tempat persembunyian berkenaan sehingga dibawa keluar oleh pihak polis.
“Terdapat sekitar tujuh hingga lapan orang yang bersembunyi di situ.
“Saya sungguh gembira sekarang kerana pada ketika kejadian, saya sangat takut akan tercedera,” ujarnya sambil menarik nafas lega.
Sementara itu, Komander Polis Wilayah Tiga, Leftenan Kolonel Poonsap Prasertsak berkata ada yang masih terperangkap di dalam pusat beli-belah itu.
“Pihak kami berhubung dengan mereka yang masih terperangkap di dalam bagi mendapatkan lokasi mereka.
“Tentunya mereka risau. Kami telah memberitahu mereka supaya bertenang, tidak bergerak dan menundukkan kepala mereka,” kata Prasertsak.
Terdahulu, penyerang yang berkhidmat di Pusat Perintah Tentera Darat Wilayah Kedua, melepaskan tembakan di beberapa lokasi termasuk sebuah kuil Buddha di Nakhon Ratchasima (juga dikenali sebagai Korat), yang terletak kira-kira 250 kilometer dari Bangkok.
Jakrapanth telah menyerang dan membunuh pegawai pemerintahnya serta dua yang lain di Kem Tentera Surathampithak sebelum bertindak melarikan senjata dan peluru daripada kem tersebut.
Dia telah melepaskan berdas-das tembakan rambang ke arah orang awam semasa memandu kenderaan dari kem tentera itu ke pusat membeli-belah Terminal 21, di mana dia dipercayai menyembunyikan diri.

pic.twitter.com/lYYF0rKh9Z

— 31 Hook31 (@Hook31_Thailand) February 8, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

# pic.twitter.com/BcebWzTyCo

— 31 Hook31 (@Hook31_Thailand) February 8, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dia juga melakukan penstriman secara langsung berkaitan serangan itu di Facebook dan memuat naik swafotonya yang sedang memegang selaras raifal.
#detik cemas #Jakraphanth Thomma #Sumana Jeerawattanasuk #tembakan rambang Thailand #tentera Thailand
;