Amuk askar Thailand: "Insiden seperti ini tidak pernah berlaku!" - PM Thailand

Agensi
Februari 9, 2020 20:47 MYT
Chan-ocha turut memberi jaminan kerajaan akan membantu menguruskan urusan pengebumian mangsa yang terkorban. Foto: AP
Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha menyifatkan insiden tembakan rambang sehingga menyebabkan puluhan kematian di negara itu sebagai insiden yang tidak pernah terjadi sebelum ini.
Pada masa sama, beliau turut menyuarakan kemungkinan punca tercetusnya insiden itu adalah kerana keadaan mental suspek.
“Kejadian ini tidak pernah berlaku di Thailand. Saya berharap ini adalah yang pertama dan yang terkahir dan tidak akan berulang lagi.
“Tiada siapa yang mahukan ia terjadi. Ia mungkin terjadi akibat daripada keadaan mental seseorang itu pada waktu itu,” ujarnya.
BACA: Tiada rakyat Malaysia terlibat insiden tembakan rambang di Thailand - Duta
BACA: Amuk askar Thailand: Anggota pasukan keselamatan terbunuh ketika serbuan
Chan-ocha turut memberi jaminan kerajaan akan membantu menguruskan urusan pengebumian mangsa yang terkorban.
“Kerajaan akan memastikan keselamatan semua orang dan tiada bayaran akan dikenakan bagi rawatan mangsa. Kami akan menguruskan urusan pampasan.
“Petugas kami dari Kementerian Kebajikan sudah bersedia untuk membantu. Satu lagi perkara penting adalah urusan pengebumian, kami akan menunggu sehingga semua urusan forensik dan autopsi selesai,” jelasnya.
Chan-ocha berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan terhadap dua mangsa yang cedera di hospital pada Ahad.
Beliau turut berharap kejadian sama tidak akan berulang pada masa akan datang.
BACA: Suspek amuk Thailand ditembak mati
Terdahulu, sekurang-kurangnya 26 orang terkorban dan puluhan yang lain cedera susulan insiden tembakan rambang ke arah orang ramai yang dilakukan oleh seorang anggota tentera yang dipercayai mengamuk di Nakhon Ratchasima, di timur laut Thailand.
Suspek yang juga anggota tentera Thailand kemudiannya berjaya ditembak mati pasukan keselamatan pada Ahad.
#amuk askar Thailand #Nakhon Ratchasima #Perdana Menteri #Prayuth Chan-ocha #tembakan rambang #Thailand
;