AMRI ke-16 lulus garis panduan banteras berita palsu, maklumat tidak tepat
Bernama
September 23, 2023 19:09 MYT
September 23, 2023 19:09 MYT
DA NANG: Persidangan Menteri ASEAN yang Bertanggungjawab bagi Maklumat (AMRI) ke-16 hari ini meluluskan Garis Panduan Pengurusan Maklumat Kerajaan dalam Membanteras Berita Palsu dan Maklumat Tidak Tepat Dalam Media.
Menurut kenyataan media bersama yang dikeluarkan pada AMRI ke-16, garis panduan itu yang dicetuskan oleh Indonesia bertujuan menyediakan rangka kerja bagaimana kerajaan boleh bertindak balas kepada maklumat palsu atau mengelirukan yang disebarkan dalam media atau menerusi platform media sosial.
Garis panduan itu juga menyasarkan untuk mewujudkan piawaian dan amalan baik untuk pegawai maklumat kerajaan; menggalakkan ketepatan dan kebolehpercayaan, meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam komunikasi kerajaan; menambah baik penyelarasan dan kerjasama antara agensi kerajaan dan memastikan maklumat kerajaan adalah telus dan bertanggungjawab.
AMRI turut menggesa Pasukan Petugas ASEAN bagi Menangani Berita Palsu (TFFN) yang ditubuhkan pada 2019, mengikuti perkembangan digital yang boleh memburukkan penyalahgunaan dalam talian dan mewujudkan perpecahan dalam masyarakat, dengan memperkukuh promosi kesejahteraan dan literasi siber serta meningkatkan kecekapan dalam pengesanan dan respons.
"Bagi tujuan ini, mesyuarat menekankan keperluan untuk membangunkan dan mengguna pakai penyelidikan berasaskan bukti yang lebih baik dan pendekatan yang boleh mempertingkatkan penggubalan dasar dalam menangani kesan buruk ancaman siber ini," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, AMRI menegaskan supaya sektor media dan maklumat lebih berdaya tahan dan responsif sebagai tindak balas kepada landskap maklumat yang berubah dengan pantas.
Menurutnya, sektor media dan maklumat perlu menjadi medium aktif bagi pembelajaran sepanjang hayat inklusif untuk menggalakkan kesedaran dan celik digital buat warga ASEAN, kerana pengaruh media sosial dan baharu yang semakin berkembang mempunyai potensi untuk menimbulkan kebimbangan orang ramai dan mendorong perbincangan terhadap isu sosial.
AMRI mengiktiraf bahawa teknologi maju dan kecerdasan buatan telah mencipta dan membentuk kandungan digital dengan kaedah yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Kenyataan itu menjelaskan walaupun perubahan itu telah membuka peluang dalam penceritaan yang inovatif, ia juga memberi cabaran seperti penyebaran berita palsu dan maklumat tidak tepat, serta ancaman siber berikutan ekploitasi penjenayah terhadap teknologi digital.
AMRI turut menyatakan transformasi digital telah mengganggu industri media, terutamanya model perniagaannya seperti radio dan kewartawanan cetak yang perlu menyesuaikan diri dengan lebih baik bagi memenuhi permintaan khalayak yang pelbagai.
Mesyuarat itu juga menyokong Deklarasi Da Nang tentang "Media: Daripada Maklumat kepada Pengetahuan untuk ASEAN yang Berdaya Tahan dan Responsif" yang mengiktiraf peranan penting media dalam pelbagai bidang seperti menyumbang kepada matlamat warganegara yang diperkasakan oleh pengetahuan.
Deklarasi itu turut mengiktiraf peranan media dalam memupuk Identiti ASEAN bagi menggalakkan perpaduan sosial dan memperdalam semangat kekitaan serantau sebagai respons kepada perubahan landskap media susulan transformasi digital.
Terdahulu, Sesi Pleno AMRI Campur Tiga ke-7 menyaksikan China, Jepun dan Korea Selatan menyatakan sokongan berterusan mereka untuk kerjasama yang lebih erat dengan ASEAN dan negara anggotanya.
AMRI ke-16 dengan tema "Media: Daripada Maklumat kepada Pengetahuan untuk ASEAN yang Berdaya Tahan dan Responsif", berlangsung di Furama Resort Danang di sini, menumpukan kepada usaha membendung berita palsu dan maklumat salah serta untuk membina komuniti ASEAN yang lebih berdaya tahan dan responsif.
Selain negara anggota ASEAN, mesyuarat empat hari itu juga dihadiri China, Jepun, Korea Selatan (Campur Tiga); serta Timor Leste sebagai pemerhati.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan disertai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan (JaPen) Datuk E. Sivabalan.
Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin dan pegawai tinggi daripada KKD dan agensinya juga merupakan sebahagian daripada delegasi negara.
Fahmi ketika ditemui selepas AMRI berkata mesyuarat itu membuahkan hasil dalam mengeratkan kerjasama dalam kalangan negara ASEAN dan bersetuju untuk bekerjasama rapat bagi aspek memerangi berita palsu dan maklumat tidak tepat.
-- BERNAMA