Amnesty International, OIC desak siasatan segera terhadap serangan bantuan di Gaza

Bernama
Mac 1, 2024 14:44 MYT
Israel telah mengenakan sekatan yang melumpuhkan Semenanjung Gaza, menyebabkan penduduknya khususnya di utara Gaza kini di ambang krisis kebuluran. - Gambar fail/AP
ANKARA: Amnesty International pada Khamis menggesa siasatan segera terhadap pembunuhan lebih 100 rakyat Palestin yang menunggu bekalan makanan di Gaza oleh tentera Israel.
Dalam satu kenyataan di X, kumpulan hak asasi manusia itu berkata mesti ada siasatan segera berhubung laporan ngeri bahawa berpuluh-puluh rakyat Palestin terbunuh dan cedera ketika cuba menerima bantuan makanan di utara Gaza hari ini, lapor Agensi Anadolu.
Amnesty International berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap insiden itu sebagai sebahagian daripada "dokumentasi berterusan terhadap pencabulan ke atas orang awam Palestin."
Kenyataan itu dibuat selepas tentera Israel menyerang sekumpulan penduduk Palestin pada awal Khamis ketika mereka menunggu bantuan kemanusiaan di Bandaraya Gaza.
Menurut Kementerian Kesihatan, insiden itu membunuh sekurang-kurangnya 112 orang dan mencederakan 760 yang lain.
Menekankan krisis kemanusiaan yang teruk di Gaza, organisasi itu merujuk kepada amaran PBB baru-baru ini mengenai ancaman kebuluran dan menyalahkan krisis itu kepada "kepungan haram dan serangan tanpa henti" Israel di wilayah itu sejak 16 tahun lalu.
"Gesaan oleh Menteri Keselamatan Israel (Itamar) Ben-Gvir selepas tragedi hari ini untuk menghentikan penghantaran bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza adalah keterlaluan dan tidak berperikemanusiaan," katanya.
Sementara itu dalam satu kenyataan, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berkata ia "mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang yang berterusan yang dilakukan oleh tentera rejim, termasuk pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin yang sedang menunggu trak bantuan di bulatan Nabulsi berhampiran Al-Rashid Street di Bandaraya Gaza.
OIC juga menggesa masyarakat global untuk segera menghentikan "jenayah genosid" Israel dan memastikan perlindungan antarabangsa terhadap orang awam Palestin selain menjamin penghantaran barang keperluan penting dan bantuan kemanusiaan yang berterusan untuk mereka.
Serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lepas membunuh sekurang-kurangnya 30,035 penduduk Palestin dan menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.
Israel telah mengenakan sekatan yang melumpuhkan Semenanjung Gaza, menyebabkan penduduknya khususnya di utara Gaza kini di ambang krisis kebuluran.
-- BERNAMA
#Amnesty International #Gaza #rakyat Palestin #serangan Israel #bekalan makanan
;