Amnesty International kecam cadangan Trump pindahkan rakyat Palestin sebagai "keterlaluan"
Bernama
Februari 6, 2025 20:00 MYT
Februari 6, 2025 20:00 MYT
RAMALLAH: Amnesty International menyatakan cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk memindahkan rakyat Palestin dari Gaza adalah "keterlaluan" dan "satu pencabulan undang-undang antarabangsa secara terang-terangan", lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
"Sebarang rancangan untuk memindahkan penduduk Palestin secara paksa dari wilayah yang diduduki tanpa kerelaan mereka adalah satu jenayah perang," kata Setiausaha Agung Amnesty International, Agnes Callamard.
Trump dalam sidang media bersama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di Washington pada lewat Selasa berkata AS "akan mengambil alih" Gaza selepas memindahkan penduduk Palestin ke lokasi lain di bawah rancangan pembangunan semula luar biasa yang didakwanya boleh menjadikan wilayah itu sebagai "Riviera Timur Tengah."
Cadangan Trump itu dikemukakan susulan perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa di Gaza pada 19 Jan, menghentikan sementara serangan genosid Israel ke atas wilayah itu yang telah mengorbankan lebih 47,500 penduduk Palestin dan mencederakan lebih 111,000 orang, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
-- BERNAMA