Amnesty International gesa Thailand tidak hantar pulang warga Myanmar
Bernama
Mac 24, 2023 23:32 MYT
Mac 24, 2023 23:32 MYT
BANGKOK: Amnesty International menggesa pihak berkuasa Thailand supaya tidak menghantar pulang warga Myanmar kerana mereka berdepan risiko ditahan.
Dalam satu kenyataan, Penyelidik Myanmar Amnesty International Nang Sein berkata warga Myanmar yang melarikan diri merentasi sempadan akan hidup dalam ketakutan jika dihantar pulang.
Penyelidik itu memaklumkan ramai daripada mereka yang telah meninggalkan Myanmar sejak rampasan kuasa Februari 2021 cuba mencari perlindungan.
"Pihak berkuasa Thailand tidak boleh menghantar pulang warga Myanmar ke negara asal di mana mereka berkemungkinan dipenjara, diseksa, dan berdepan hukuman mati.
"Thailand mempunyai sejarah dalam menyediakan bantuan kemanusiaan kepada pelarian di rantau ini.
"Sebagai negara jiran dan anggota ASEAN, Thailand boleh memainkan peranan utama dengan menyediakan perlindungan terhadap pelarian di Myanmar," katanya dalam satu kenyataan.
Nang Sein berkata pihak berkuasa Thailand mesti memegang teguh prinsip 'non-refoulement' yang termaktub dalam undang-undang antarabangsa dan Akta Pencegahan dan Penindasan terhadap Penyeksaan dan Kehilangan Paksa.
Sebagai sebuah negara yang tertakluk kepada Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Kekejaman, Layanan atau Hukuman yang Menghina, Thailand bertanggungjawab untuk tidak menghantar pulang mana-mana individu yang berisiko mengalami bahaya, menurut Amnesty Thailand.
Pada Rabu dan Khamis, pihak berkuasa Thailand menggeledah beberapa pangsapuri di Mae Sot, Wilayah Tak di Thailand dan dianggarkan 100 orang termasuk kanak-kanak telah disoal siasat di luar pangsapuri mereka.
Mereka kemudian dibebaskan pada hari yang sama.
Sejak rampasan kuasa tentera pada Feb 2021 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan bahawa 1.6 juta orang hilang tempat tinggal dan 17.6 juta lagi memerlukan bantuan di Myanmar.
Menurut Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian, dianggarkan 52,000 orang telah melarikan diri ke negara jiran.
Sekitar 22,400 orang telah menyeberangi Thailand sejak rampasan kuasa, menurut Amnesty Thailand.
-- BERNAMA