Amerika tolak usul kecaman terhadap Rusia di PBB

Agensi
Februari 24, 2025 07:15 MYT
Amerika Syarikat bergabung dengan Rusia untuk mengundi menentang resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengutuk perang Rusia terhadap Ukraine pada Isnin. - Gambar fail Reuters
NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) bergabung dengan Rusia untuk mengundi menentang resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengutuk perang Rusia terhadap Ukraine pada Isnin, dalam perubahan mengejut daripada dasar AS selama bertahun.
Keputusan AS untuk menolak resolusi yang disokong Ukraine dan negara-negara Eropah itu meletakkan Washington dalam kedudukan bertentangan dengan sekutu tradisionalnya di Eropah.
Sebaliknya, AS menyokong negara penceroboh pada ulang tahun ketiga serangan penuh Rusia ke atas Ukraine.
Langkah ini dibuat ketika pentadbiran Presiden Donald Trump meneruskan rundingan dengan Moscow bagi menamatkan peperangan, di samping meningkatkan tekanan retorik terhadap Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.
Resolusi tersebut tetap diluluskan Perhimpunan Agung PBB dengan 93 undi menyokong.
Dokumen itu menyatakan kebimbangan terhadap peperangan yang telah berlarutan selama tiga tahun dengan kesan buruk yang berpanjangan bukan sahaja kepada Ukraine, malah kepada kestabilan global.
Resolusi itu juga menyeru usaha de-eskalasi, gencatan senjata segera dan penyelesaian damai terhadap konflik berkenaan.
Dalam perkembangan lain, AS telah mengemukakan satu resolusi alternatif yang tidak menyebut Rusia sebagai pihak agresor atau mengiktiraf kedaulatan wilayah Ukraine.
Resolusi itu hanya menggesa agar perang segera dihentikan serta menyeru keamanan yang berkekalan antara Ukraine dan Rusia.
Ia turut meratapi kehilangan nyawa dalam konflik tersebut serta menegaskan matlamat utama PBB dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Difahamkan, AS akan membentangkan draf resolusi yang sama di Majlis Keselamatan PBB pada hari yang sama.
Sebelum pengundian di Perhimpunan Agung, Duta Dorothy Shea yang bertindak sebagai Chargé d'Affaires di Misi AS ke PBB telah menggesa semua negara anggota, termasuk Ukraine dan Rusia, untuk menyokong resolusi alternatif itu.
Beliau turut menegaskan, AS tidak dapat menyokong resolusi Ukraine dan meminta ia ditarik balik demi memberi laluan kepada satu kenyataan tegas bagi menamatkan perang serta berusaha ke arah keamanan berkekalan.
Bagaimanapun, Amerika akhirnya mengambil keputusan berkecuali dalam undian resolusi yang dikemukakannya sendiri selepas beberapa pindaan dilakukan bagi memperkukuh kecaman terhadap Rusia serta menegaskan semula kedaulatan wilayah Ukraine. - Agensi
#Amerika Syarikat #usul kecaman Rusia #PBB #Donald Trump
;