Amerika tidak akan tunduk lagi kepada kejahatan - Trump

Astro Awani
September 12, 2018 08:40 MYT
Penguasa memorial memberi penerangan kepada Donald Trump dan isteri yang membuat lawatan ke Flight 93 National Memorial sempena mengingati ulang tahun ke-17 kejadian 11 September, dekat Shanksville, Pennsylvania, 11 Sept, 2018. REUTERS
11 September, genap 17 tahun serangan ke atas World Trade Centre (WTC) dan Pentagon, yang telah mengubah geo politik dunia.
Ia menjadi pencetus kepada perang besar-besaran ke atas keganasan dilancarkan Amerika Syarikat.
Namun begitu, di sebalik apa yang berlaku, keluarga mangsa tetap terus memperingati pengorbanan yang dilakukan insan tersayang mereka.
Setiap tahun, keluarga dan rakan rapat hampir 3,000 mangsa berkumpul di tapak WTC di New York City, untuk mengenang mereka yang terkorban.
BACA: Selepas 17 tahun, stesen subway WTC dibuka semula
Dalam satu majlis berasingan di Shanksville, Pennsylvania, Presiden Donald Trump memberi penghargaan kepada mereka yang disifatkan wira ketika tragedi 11 September.
Mesej Trump, Amerika tidak akan lagi tunduk kepada kejahatan, dan beliau akan lakukan segala yang perlu untuk memastikan negara Uncle Sam itu selamat.
"Kita berkumpul hari ini bagi mengenang kehilangan, berkongsi kisah dan menghargai pengorbanan mereka. Pada 11 September, 2001, kumpulan patriot ini berkorban untuk negara.
"Di majlis ini, di bumi suci, kita memperingati detik Amerika melawan semula serangan," kata Trump ketika berucap di Memorial Negara Flight 93.
Pada 11 September, 2001, pesawat United Airlines Flight 93 dirampas pengganas untuk melakukan serangan.
Ia terhempas di sebuah kawasan lapang di Somerset County, Pennsylvania, dalam usaha penumpang dan anak kapal untuk cuba mengawal kembali pesawat itu.
"Kepada ahli keluarga Flight 93, kami sedia membantu anda menangani kesedihan. Anda tidak menangis sendirian. Tangisan anda dikongsi seluruh negara.
"Kami bersedih bersama untuk ahli keluarga yang terkorban di WTC dan Pentagon. Kami hargai kehilangan mereka dengan janji untuk memastikan Amerika selamat," tambah Trump.
Katanya, sebahagian jiwa Amerika bersemadi di kawasan itu, dan sebagai gantinya, wujud satu azam untuk meneruskan kehidupan dalam semangat dan keberanian yang sama seperti wira-wira Flight 93.
"Bumi ini kini satu monumen kepada bantahan Amerika. Memorial ini satu mesej kepada dunia: Amerika tidak akan sekali-kali tunduk kepada kezaliman," katanya.
#11 September #Amerika Syarikat #Donald Trump #keganasan #keluarga #mangsa #Pentagon #pesawat #politik #serangan #World Trade Centre
;