"Amerika Syarikat yang bodoh, beri Pakistan AS$33 bilion" - Trump
Astro Awani
Januari 1, 2018 06:11 MYT
Januari 1, 2018 06:11 MYT
Donald Trump menyifatkan Amerika Syarikat (AS) telah melakukan ‘tindakan bodoh’ dengan menyalurkan lebih AS$33 bilion (RM135 billion) bantuan kepada Pakistan sejak 15 tahun lalu, namun tidak mendapat apa-apa pulangan dan berikrar untuk menghentikannya.
Presiden AS itu turut mendakwa Pakistan memberi perlindungan kepada pengganas yang diburu dengan bantuan yang diberikan.
"Amerika Syarikat dengan bodohnya memberikan Pakistan lebih dari AS$33 bilion bantuan selama 15 tahun dan mereka tidak memberi kita apa-apa tetapi pembohongan dan penipuan, ingat pemimpin kita tidak bijak." ujarnya menerusi Twitter.
Seorang pegawai Majlis Keselamatan Negara pada Isnin memaklumkan, White House tidak merancang untuk menghulur AS$255 juta bantuan kepada Pakistan pada masa ini .
Katanya, pentadbiran akan terus mengkaji tahap kerjasama dengan Pakistan.
Dalam pada itu, Menteri Luar Pakistan, Khawaja Muhammad Asif, dalam reaksi segeranya memaklumkan akan memberi maklum balas kenyataan Trump dalam masa terdekat.
"Kami akan memberi reaksi kepada tweet Presiden Trump tidak lama lagi Insha’Allah. Akan membiarkan dunia mengetahui kebenarannya… bezakan antara antara fakta dan fiksyen," ulasnya.
Bagaimanapun ia tidak jelas apakah yang mendorong kritikan Trump ke Pakistan tetapi Washington telah lama mendakwa Islamabad tidak lakukan cukup untuk menangani militan.