Amerika Syarikat usir 10 diplomat Rusia

Astro Awani
April 15, 2021 07:13 MYT
Amerika secara yakin mengaitkan pencerobohan dengan sebuah agensi perisikan Rusia. - Gambar fail REUTERS
PENTADBIRAN Joe Biden mengumumkan Amerika Syarikat (AS) mengusir 10 diplomat Rusia dan melaksanakan sekatan terhadap berpuluh-puluh syarikat dan warga Rusia, susulan campur tangan Kremlin dalam pilihan raya presiden tahun lalu dan penggodaman agensi persekutuan.
Sekatan terhadap enam syarikat Rusia yang menyokong usaha siber negara itu merupakan tindak balas pertama terhadap Kremlin kerana melakukan pencerobohan siber yang dikenali sebagai pelanggaran Solarwinds.
"AS tidak mahu memulakan konflik dengan Rusia. Kami mahukan hubungan yang stabil dan boleh dijangka. Dan jika Rusia terus mengganggu demokrasi kita, saya sedia bertindak balas dengan mengambil tindakan lebih jauh.
"Menjadi tanggungjawab saya sebagai Presiden AS untuk melakukannya. Tetapi, selama ini, kedua-dua negara kita dapat mencari cara untuk menguruskan ketegangan dan mengelakkannya daripada terus meningkat.
"Terdapat juga aspek di mana Rusia dan AS boleh bekerjasama. Sebagai contoh, pada hari-hari awal pentadbiran saya, kami dapat bergerak pantas untuk melanjutkan selama lima tahun perjanjian START (Perjanjian Strategi Pengurangan Senjata) yang baru dan mengekalkan elemen utama kestabilan nuklear antara negara-negara kita.
"Ia demi kepentingan AS, Rusia dan dunia, dan kami berjaya menyelesaikannya," katanya.
Amerika secara yakin mengaitkan pencerobohan dengan sebuah agensi risikan Rusia.
Ia turut mengumumkan sekatan ke atas 32 individu dan entiti yang dituduh cuba campur tangan dalam pilihn raya presiden tahun lalu, termasuk dengan menyebarkan maklumat.
Pegawai perisik Amerika mendakwa dalam satu laporan deklarasi bulan lalu, bahawa Presiden Rusia Vladimir Putin mengizinkan operasi membantu Donald Trump dalam usahanya untuk dipilih semula sebagai presiden.
Walaupun tiada bukti bahawa Rusia atau orang lain mengubah pungutan undi atau memanipulasi hasil undi.
Tindakan itu menandakan amaran keras terhadap Putin.
Ini adalah langkah dasar luar kedua pentadbiran Biden dalam tempoh dua hari, susulan pengumuman penarikan keluar pasukan Amerika dari Afghanistan.
BACA: NATO undur anggota dari Afghanistan mulai 1 Mei
BACA: Undur dari Afghanistan: Tiba masanya tamat perang paling panjang - Biden
BACA: Tentera AS bakal berundur dari Afghanistan 11 Sept depan
Biden mengakui memaklumkan kepada Putin bahawa AS akan mengambil tindakan terhadap Rusia.
"Awal minggu ini, saya bercakap dengan Presiden Putin dari Rusia mengenai sifat hubungan kami, hubungan antara kedua negara kami, dan perbualan itu dilakukan secara jujur dan hormat, dua kuasa besar dengan tanggungjawab penting untuk kestabilan global.
"Presiden Putin dan saya mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaga hubungan itu. Saya memikul tanggungjawab itu dengan serius, kerana saya yakin dia juga melakukannya. Rusia dan Amerika adalah warga yang patriotik dan saya yakin rakyat Rusia, seperti rakyat Amerika, mahukan keamanan dan masa depan dunia terjamin.
"Semasa peralihan, sebaik kami belajar lebih banyak mengenai Solarwinds, pencerobohan siber, saya menjelaskan bahawa saya akan bertindak balas setelah kami menentukan siapa sebenarnya melakukan pencerobohan terhadap skop dan skala yang berlaku.
"Semasa Presiden Putin menghubungi saya pada Januari lalu selepas saya mengangkat sumpah, untuk mengucapkan tahniah, saya memberitahu Putin bahawa pentadbiran saya akan melihat dengan teliti dan kami mempunyai akses ke atas semua data dan isu-isu yang menilai peranan Rusia, dan kemudian menentukan apa tindak balas yang akan dibuat," jelasnya.
Langkah diambil bertujuan menghukum Rusia atas nama demokrasi selain mengelak tindakan sama berulang di masa depan.
Sekatan terbaharu sudah pasti akan meningkatkan ketegangan antara Amerika dan Rusia, yang dijangka bertindak balas terhadap keputusan Washington.
#Donald Trump #Vladimir Putin #Afghanistan #Washington #Rusia #usir #diplomat #Amerika Syarikat #Joe Biden #pencerobohan #Siber #pilihan raya presiden #SolarWinds #sekatan #konflik #godam #dasar luar
;