Amerika Syarikat tolak waran tangkap ICC untuk Netanyahu, Gallant - White House
Agensi
November 21, 2024 07:15 MYT
November 21, 2024 07:15 MYT
WASHINGTON: White House menolak keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk mengeluarkan waran tangkap untuk Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoavi Gallant atas dakwaan jenayah kemanusiaan dan perang di Gaza.
"Amerika Syarikat (AS) secara asasnya menolak keputusan mahkamah (ICC) untuk mengeluarkan waran tangkap untuk pegawai kanan Israel. Kami tetap amat bimbang dengan sikap tergesa-gesa Pendakwa Raya untuk mendapatkan waran tangkap dan kesilapan proses yang yang membawa kepada keputusan ini," kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, lapor media antarabangsa.
"Amerika Syarikat sangat jelas bahawa ICC tidak mempunyai bidang kuasa ke atas perkara ini. Dalam penyelarasan dengan rakan kami termasuk Israel, kami sedang membincangkan langkah seterusnya."
Mahkamah yang berpangkalan di Hague mengeluarkan waran tangkap untuk Netanyahu dan Gallant pada Khamis atas dakwaan " jenayah terhadap kemanusiaan dan perang" yang dilakukan dari sekurang-kurangnya 8 Oktober 2023 hingga sekurang-kurangnya 20 Mei 2024," kata Pendakwa Raya ICC, Karim Khan.
Dengan berbuat demikian, ia juga sebulat suara menolak cabaran Israel terhadap bidang kuasa di bawah artikel 18 dan 19 Statut Rom.
ICC "mendapati alasan munasabah" untuk mempercayai Netanyahu dan Gallant "memikul tanggungjawab jenayah" untuk "jenayah perang kelaparan sebagai kaedah peperangan; dan jenayah terhadap kemanusiaan iaitu pembunuhan, penganiayaan, dan tindakan tidak berperikemanusiaan yang lain."
Waran itu dikeluarkan ketika serangan genosid Israel di Gaza baru-baru ini memasuki tahun kedua, telah membunuh kira-kira 44,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Serangan Israel telah menyebabkan hampir keseluruhan penduduk wilayah itu kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah sekatan berterusan dan disengajakan yang telah menyebabkan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk, mendorong penduduk di ambang kebuluran. - Agensi