Amerika Syarikat pertimbang haramkan TikTok, aplikasi media sosial China lain
Agensi
Julai 7, 2020 12:49 MYT
Julai 7, 2020 12:49 MYT
HUBUNGAN ‘panas’ Amerika Syarikat (AS) dengan China nampaknya memasuki satu lagi fasa apabila negara kuasa besar dunia itu sedang 'mempertimbangkan' untuk mengharamkan penggunaan aplikasi media sosial dari Negara Tembok Besar itu termasuk TikTok, lapor CNN.
Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo mendedahkan kemungkinan cadangan tersebut ketika temu bual bersama Fox News pada Isnin, sambil menambah pihaknya memandang serius perkara itu.
“Berkenaan aplikasi milik China di telefon mudah alih orang ramai, saya memberi jaminan kepada anda bahawa AS akan mengambil tindakan terhadap perkara ini juga.
“Saya tidak mahu memberitahu perkara ini di hadapan Presiden (AS, Donald Trump), tetapi ia sesuatu yang sedang kita perhalusi,” demikian katanya.
Mike berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada AS harus mempertimbangkan larangan penggunaan aplikasi media sosial China terutama TikTok.
Kenyataan Mike dibuat ketika ketegangan antara kedua-dua negara itu semakin meningkat dan merebak termasuk ke arena keselamatan nasional, perdagangan serta teknologi.
Bagaimanapun, setakat ini syarikat aplikasi tersebut masih belum memberi sebarang komen berhubung perkara itu.
TikTok - yang dimiliki oleh startup ByteDance dan berpangkalan di Beijing, berulang kali dikritik oleh pemimpin politik AS yang menuduh aplikasi video pendek itu mengancam keselamatan negara kerana hubungannya dengan China.
Populariti TikTok melonjak di AS dan negara-negara barat lain, sekali gus menjadi platform media sosial China pertama yang memiliki daya tarikan yang signifikan dengan pengguna dari luar negara asal.
Dianggarkan sekitar 65 juta pengguna aktif aplikasi TikTok setiap bulan di AS.