Amerika Syarikat kembali sertai rundingan global tangani isu perubahan iklim

Agensi
Januari 25, 2021 18:29 MYT
Peningkatan paras laut dan kejadian ribut yang lebih dahsyat memaksa ratusan juta manusia yang tinggal di bandar pesisiran pantai kehilangan tempat tinggal. - Reuters
AMSTERDAM: Amerika Syarikat (AS) akan kembali memainkan peranannya dalam usaha menangani perubahan iklim pada Isnin, dengan menyertai rundingan peringkat tertinggi berkenaan langkah terbaik melindungi penduduk dunia dan ekonomi daripada kesan pemanasan global, lapor Reuters.
Kurang daripada seminggu selepas Presiden Joe Biden mengangkat sumpah, AS kini kembali dalam Perjanjian Iklim Paris 2015. Envoi Khas bagi isu iklim AS, John Kerry bakal bersama-sama Timbalan Perdana Menteri China, Han Zheng: Canselor Jerman Angela Merkel; Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Perdana Menteri Britain Boris Johnson dan para pemimpin lain di Sidang Kemuncak Adaptasi Iklim.
Acara dalam talian itu, yang menyaksikan Netherlands menjadi tuan rumah, menyasarkan penyelesaian praktikal dan pelan untuk menghadapi perubahan iklim bagi tempoh sehingga tahun 2030.
Menjelang sidang kemuncak itu, lebih 3,000 saintis antarabangsa akan mendesak para pemimpin dunia untuk bertindak lebih baik demi melindungi manusia daripada impak pemanasan global.
"Dunia kita yang semakin panas ini sudahpun berdepan gangguan ekstrem seperti kemarau, kebakaran hutan, gelombang haba, banjir, taufan tropika dan banyak lagi bencana lain.
“Jika kita tidak bertindak dan beradaptasi, kesannya adalah isu kemiskinan, kehilangan bekalan air bersih, kemusnahan sektor pertanian dan peningkatan migrasi yang menyebabkan banyak korban nyawa,” ujar kenyataan bersama kumpulan saintis itu, termasuk lima penerima Hadiah Nobel.
Perubahan iklim akan menekan pengeluaran makanan dunia sehingga 30 peratus, sementara peningkatan paras laut dan kejadian ribut yang lebih dahsyat memaksa ratusan juta manusia yang tinggal di bandar pesisiran pantai kehilangan tempat tinggal.
"Tiada vaksin untuk masalah perubahan iklim.
“Semua sedang berlaku dengan pantas, lebih pantas daripada kita berfikir, dan mengakibatkan risiko dan impak yang berganda. Membentuk sistem pertahanan daripada impak perubahan iklim adalah sesuatu yang kita wajib ada,” kata Pengerusi Pusat Adaptasi Global yang juga bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon.
#Amerika Syarikat #perubahan iklim #pemanasan global #rundingan antarabangsa #Perjanjian Iklim Paris #bencana alam #kemanusiaan
;