Amerika Syarikat, EU, NATO bersatu hati mempertahankan kedaulatan Ukraine

Kenyataan Media
Februari 12, 2022 00:01 MYT
AS, EU dan NATO secara konsisten bercakap tentang dua jalan yang boleh dipilih oleh Rusia: dialog dan diplomasi, atau terus meningkatkan ketegangan.
KUALA LUMPUR: Oleh Duta Besar Amerika Syarikat, Brian McFeeters dan Duta Besar Kesatuan Eropah (EU), Michalis Rokas
Ketika rakyat Malaysia meraikan kemeriahan Tahun Baru Cina secara aman dan menyambut permulaan tahun harimau baru-baru ini, ancaman perang semakin memuncak di Eropah. Ancaman ketenteraan tanpa provokasi oleh Rusia terhadap Ukraine kekal menjadi ketegangan geopolitik utama hari ini. Rusia terus melancarkan kempen maklumat palsu dan serangan siber yang agresif. Pada masa yang sama Rusia meningkatkan kehadiran tenteranya dan senjata berat di dalam dan sekitar Ukraine, termasuk di semenanjung Krimea yang dirampas secara haram oleh Rusia, dan di bahagian wilayah timur Donbas, di mana Rusia memimpin dan menyokong kumpulan bersenjata.
Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU), dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bersatu hati sepenuhnya dalam tindak balas dan objektif kami. Kami secara konsisten bercakap tentang dua jalan yang boleh dipilih oleh Rusia: dialog dan diplomasi, atau terus meningkatkan ketegangan.
Kami terus bekerja tanpa mengenal penat lelah ke arah penyelesaian diplomatik untuk ketegangan semasa, dan kami bersedia untuk bergerak ke hadapan apabila terdapat kemungkinan komunikasi dan kerjasama jika Rusia sanggup mengurangkan tindakan agresifnya terhadap Ukraine, menghentikan retorik yang provokatif, dan mengambil pendekatan perbincangan tentang masa depan keselamatan di Eropah secara seimbang dan bertimbal balik.
Walau bagaimanapun, pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan oleh Rusia yang berterusan merupakan cabaran langsung kepada aturan berasaskan peraturan antarabangsa. Ukraine ialah ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Layanan Rusia terhadap Ukraine, secara prinsipnya, perlu menjadi kebimbangan semua negara di seluruh dunia. Jika Rusia dibenarkan mengehadkan kedaulatan Ukraine dengan menentukan pilihan pakatan dan dasar luar negara itu melalui peras ugut dan melanggar integriti wilayahnya, perkara ini boleh menggalakkan negara lain memperluaskan tuntutan wilayah secara haram, termasuk di Laut China Selatan.
Menggugat prinsip aturan berasaskan peraturan antarabangsa melemahkan asas kerjasama antarabangsa, dan pelanggaran Rusia mengancam keamanan dan kestabilan di benua Eropah. Kami menegaskan sokongan kuat kami yang tidak berbelah bahagi untuk kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine, dalam sempadan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, sehinggalah ke perairan wilayahnya.
Kerjasama dan penyelarasan yang kukuh dan julung kali berlaku antara negara kami dan banyak rakan kongsi lain untuk menyokong Ukraine adalah sangat kuat. Ini termasuk persediaan bersama bagi sekatan ekonomi yang keras sekiranya Moscow memilih untuk terus menyerang Ukraine. Kami telah membangunkan tindak balas tindakan pantas berimpak tinggi yang akan memberi kesan besar yang teruk kepada ekonomi dan sistem kewangan Rusia. Pilihan Rusia akan menentukan sama ada langkah ini akan dilaksanakan.
Bersama-sama, kami juga meningkatkan lagi pemberian bantuan kepada Ukraine dalam pelbagai cara dan secara saling memperkukuh, termasuk membina daya tahan dalam menghadapi tindakan Rusia yang menganggu kestabilan. EU sedang menyediakan pakej bantuan kewangan makro kecemasan baharu sebanyak €1.2 bilion, untuk menangani keperluan kewangan Ukraine.
Sementara itu, maklumat palsu Kremlin mengenai Ukraine juga semakin meningkat, bertujuan untuk menyebar dakwaan yang salah bahawa Ukraine adalah penceroboh, malah telah mula merancang untuk mewajarkan dakwaan palsu tentang "tindakan agresif Barat" terhadap Rusia. Selain perkara ini yang secara asasnya salah, naratif sedemikian turut meningkatkan ketegangan serta menimbulkan ketidakpastian dan kekeliruan di kalangan umum. Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Ukraine dan masyarakat sivil dalam memberikan sokongan teknikal dan kewangan untuk membantu mereka memerangi manipulasi dan gangguan maklumat asing.
Ancaman berterusan terhadap Ukraine berlangsung seiring dengan satu lagi serangan siber. Sebilangan tapak web dan platform perkhidmatan kerajaan Ukraine telah diresapi dengan pemesejan yang mengelirukan, dan lebih teruk lagi, unsur pemusnah ditemui pada beberapa sistem IT kerajaan dan bukan kerajaan. Serangan siber membahayakan sistem teknikal serta bertujuan untuk melemahkan pihak berkuasa Ukraine, serta menyebarkan ketidakpercayaan dan ketakutan di kalangan populasi umum. Pihak berkuasa Ukraine bertindak segera dan membetulkan keadaan. Ini adalah contoh daya tahan masyarakat Ukraine yang teguh terhadap tekanan yang mereka hadapi. Kami secara aktif menyokong Ukraine dalam meningkatkan pertahanannya terhadap ancaman dan serangan siber.
Kami terus menyeru Rusia untuk mengendurkan ketegangan dan mematuhi undang-undang antarabangsa. Adalah penting untuk menyokong rangka kerja sedia ada untuk penyelesaian konflik yang mampan dan aman, seperti melalui Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah, dan kami menyeru Rusia untuk terlibat semula secara konstruktif dan ikhlas dalam rangka kerja antarabangsa yang telah ditetapkan ini. Kami telah menggariskan bidang di mana NATO dan Rusia boleh maju bersama untuk mengukuhkan keselamatan untuk kita semua, dan tentu sekali untuk dunia. Ini termasuk tindakan bertimbal balik dalam pengurangan risiko dan peningkatan ketelusan, komunikasi yang lebih baik dan kawalan senjata.
Jalan diplomatik menyediakan satu-satunya penyelesaian yang kukuh dan berpanjangan kepada kebimbangan keselamatan berkaitan Rusia, Eropah dan dunia, dan kami komited untuk meneruskan semua jalan diplomatik untuk menamatkan krisis ini. Dalam mencapai matlamat ini, A.S., EU, dan NATO bersatu hati.
#Amerika Syarikat #Kesatuan Eropah #Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara #Ukraine #Rusia
;