Amerika Syarikat, China gesa tingkat hubungan yang lebih stabil

Agensi
September 19, 2023 09:00 MYT
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berjabat tangan dengan Naib Presiden China, Han Zheng pada sesi fotografi di New York, Amerika Syarikat, pada Isnin. - Gambar REUTERS
NEW YORK: Diplomat kanan Amerika Syarikat (AS) dan Naib Presiden China pada Isnin menyuarakan harapan agar kestabilan ditingkatkan dalam hubungan dua negara itu yang sentiasa tegang dalam perbincangan peringkat tertinggi yang berlangsung antara dua kuasa besar itu.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken yang mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Han Zheng di sela-sela Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di sini, berkata, beliau percaya "diplomasi bersemuka" adalah pendekatan terbaik untuk menangani perbezaan pendapat.
"Saya fikir ini adalah perkara yang baik bahawa kita mempunyai peluang ini untuk meningkatkan lagi hubungan di peringkat tertinggi seperti yang sedia terjalin oleh kedua-dua negara,” kata Blinken kepada Zheng semasa memulakan perbincangan bersama utusan China di PBB.
Perbincangan itu juga bertujuan, jelas Blinken untuk "memastikan kita (AS dan China) menjaga komunikasi terbuka dan menunjukkan bahawa kita mengurus hubungan antara dua negara kita dengan tanggungjawab."
Zheng pula berkata, dua ekonomi terbesar di dunia ini menghadapi "banyak kesukaran dan cabaran."
"Dunia memerlukan hubungan AS-China yang sihat dan stabil, yang memberi manfaat bukan sahaja kepada China dan AS, tetapi kepada seluruh dunia," katanya.
Pertemuan ini berlaku semasa Amerika Syarikat mengawasi perubahan kedudukan pegawai tertinggi kerajaan di Beijing.
Qin Gang, yang dipilih sendiri oleh Presiden Xi Jinping sebagai Menteri Luar Negeri, secara tiba-tiba digantikan pada bulan Julai oleh pembuat dasar veteran Wang Yi.
Pegawai AS pada mulanya mengharapkan Yi akan menghadiri Sidang Kemuncak PBB dan beliau mungkin akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Joe Biden.
Bagaimanapun, China sebaliknya mengumumkan bahawa Zheng yang kurang dikenali sebagai wakil negara itu.
Tetapi Yi, yang juga Pengarah Dasar Luar Negeri Parti Komunis, telah mengadakan perbincangan pada hujung minggu dengan Penasihat Keselamatan Kebangsaan Biden, Jake Sullivan, di Malta.
AS dan China masih berhadapan dalam sejumlah isu termasuk Taiwan, demokrasi berdaulat yang dituntut oleh Beijing dan tidak menolak untuk merebutnya dengan menggunakan kekerasan.
China mendakwa AS sedang membangkitkan sentimen menyokong kemerdekaan Taiwan.
AS pula mendakwa, negara itu sedang mencari pemeliharaan status quo dan telah meningkatkan sokongan, termasuk pada bulan lalu untuk pertama kali meluluskan bantuan tentera langsung kepada Taiwan, yang tradisinya membeli senjata sendiri.
China juga marah dengan sekatan AS terhadap pelaburan berkualiti tinggi dan eksport semikonduktor dari AS, yang didakwa mereka melakukan tindakan sedemikian untuk memelihara keselamatannya sendiri.
Bagaimanapun, nada AS menjadi lebih sivil susulan kunjungan Blinken dan Setiausaha Kewangan, Janet Yellen yang berkunjung ke Beijing tahun ini untuk memulihkan semula hubungan yang hampir terhenti semasa pandemik COVID-19.
Pendekatan terhadap China berbeza dengan penolakan AS terhadap sebahagian besar dialog dengan Rusia sejak penaklukan ke atas Ukraine, dengan Blinken dan pegawai-pegawai kanan AS yang lain ragu-ragu untuk mengadakan perbincangan dengan Moscow. - AFP
#Amerika Syarikat #China #diplomasi bersemuka #Antony Blinken
;