Amerika Syarikat bina bandar kecil untuk rakyat Afghanistan di pangkalan tentera

Astro Awani
September 3, 2021 07:35 MYT
Terdapat lebih 25,000 rakyat Afghanistan ditempatkan di lapan pengkalan itu pada Jumaat. - Foto REUTERS/Evelyn Hockstein
WASHINGTON: Lapan pangkalan tentera Amerika Syarikat yang menempatkan pelarian dari Afghanistan akan dibangunkan untuk menjadi bandar kecil.
Ini bagi menangani isu sanitasi, makanan dan cabaran lain yang seiring dengan peningkatan jumlah penduduk Afghanistan masuk ke Amerika Syarikat.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Glen Vanherck berkata, terdapat lebih 25,000 rakyat Afghanistan ditempatkan di lapan pengkalan itu pada Jumaat.
"NORTHCOM (Komando Utara Amerika Syarikat) berusaha meningkatkan kemampuan untuk menyokong rakyat Afghanistan. Hari ini, jumlah kapasiti kami di lapan lokasi berbeza adalah sekitar 36,000 dan populasi rakyat Afghanistan sekitar 25,600.
"Kami berusaha untuk meningkatkan kapasiti sekurang-kurangnya 50,000. Dan kami akan terus menyediakan makanan, air, tempat tidur, layanan keagamaan, kegiatan rekreasi dan perkhidmatan lain seperti menyediakan pengangkutan dari pelabuhan masuk ke lokasi penginapan dan beberapa perkhidmatan perubatan," katanya.
Jelasnya, membangunkan lapan bandar kecil ini berdepan beberapa cabaran antaranya, bahasa, budaya dan perkara lain.
Vanherck menyatakan, setiap pangkalan telah menetapkan seorang pegawai tentera sebagai 'Datuk Bandar' untuk mengendalikan beberapa asrama atau unit perumahan dan rakan sejawat Afghanistan yang dapat berkomunikasi sekiranya sebarang masalah berlaku.
Vanherck, yang juga Ketua Komando Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara (NORAD) berkata, tentera Amerika Syarikat dapat menempatkan sebanyak 50,000 rakyat Afghanistan di lapan kem tersebut dan tidak memerlukan kemudahan tambahan.
Warga Afghanistan dibahagikan dengan lelaki dan wanita bujang tinggal di perumahan berasingan dan keluarga mempunyai bahagian tersendiri untuk memberikan privasi.
Katanya, terdapat beberapa masalah apabila ada dalam kalangan rakyat Afghanistan di situ positif COVID-19 namun ia tidak menyebabkan masalah besar.
Seorang pegawai pertahanan berkata, jumlah rakyat Afghanistan di setiap lapan pangkalan akan berubah dari semasa ke semasa.
Sementara itu Pentagon mengatakan Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin akan mengunjungi sekutu teluk Parsi untuk mengucapkan terima kasih di atas kerjasama mereka dalam usaha pemindahan dari Afghanistan.
Jurucakap John Kirby berkata, Austin akan berangkat pada Ahad dan mengunjungi Qatar, Bahrain, Kuwait dan Arab Saudi.
#Afghanistan #bandar kecil #pangkalan tentera #Amerika Syarikat
;