Amerika punca China hantar kapal perang ke perairan dipertikai - Akhbar China

Agensi
Januari 22, 2018 10:39 MYT
Menurut ruangan komentar akhbar itu, adalah jelas AS sendiri yang sebenarnya punca ketegangan serantau meningkat. - Gambar fail /REUTERS / Ritchie B. Tongo / Pool
Sebuah akhbar terkemuka China mendakwa operasi tentera bersama yang membabitkan Amerika Syarikat dan negara-negara serantau memaksa Beijing untuk mengerahkan kapal-kapal perangnya ke perairan yang menjadi pertikaian.

Kementerian Luar China dalam satu kenyataannya berkata kehadiran kapal perang Amerika Syarikat USS Hopper minggu lalu di perairan berhampiran Pulau Huangyan meningkatkan lagi ketegangan.

Pulau yang turut dikenali sebagai Scarborough Shoal itu turut dituntut sekutu kuat Amerika Syarikat, Filipina.

Ia adalah operasi terbaharu yang dilihat sebagai cubaan tentera laut AS untuk mencabar tuntutan China di Laut China Selatan dan hadir sewaktu presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memohon kerjasama China bagi menangani isu senjata nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.

Menurut ruangan komentar akhbar itu, adalah jelas AS sendiri yang sebenarnya punca ketegangan serantau meningkat.

“Dengan berselindung disebalik kerjasama dan keamanan, kapal AS telah menimbulkan provokasi sehingga ke tahap cuai,” tulis akhbar itu lagi.

Komentari itu diterbitkan dibawah nama pena “"Zhong Sheng", yang bermaksud “Suara China. Ia sering mengenengahkan isu-isu polisi luar negara itu.

The Scarborough Shoal terletak dalam 200 batu nautika Zon Ekonomi Filipina.

Tribunal antarabangsa pada 2016, memutuskan kawasan itu tidak boleh dituntut oleh mana-mana negara dan hanya menjadi kawasan menangkap ikan.

#Amerika Syarikat #Beijing #China #ekonomi #Filipina #Kementerian Luar #Korea Utara #Scarborough Shoal
;