Amerika, Mexico bincang isu imigresen, perdagangan
Astro Awani
Julai 13, 2022 08:30 MYT
Julai 13, 2022 08:30 MYT
PRESIDEN Amerika Syarikat Joe Biden bertemu dengan Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador pada Selasa bagi perbincangan yang disifatkan oleh White House sebagai tanda memulihkan hubungan.
Lopez Obrador sebelum ini menolak jemputan Biden ke Sidang Kemuncak Amerika di Los Angeles bulan lalu selepas tidak berjaya menggesa Amerika memasukkan pemimpin Cuba, Nicaragua dan Venezuela.
Pemimpin Mexico itu juga telah menggelar sokongan Amerika untuk Ukraine dalam perangnya dengan Rusia sebagai "kesilapan besar".
Ia merupakan pertemuan kedua secara langsung antara Biden dan Lopez Obrador di White House.
Bercakap mengenai kematian pendatang di Texas - termasuk dari Mexico dan Amerika Tengah - Biden berkata Mexico dan Amerika perlu menghadapi isu itu bersama-sama.
Amerika dan Mexico bersetuju mengenai keperluan meningkatkan peluang penghijrahan secara sah.
Ini terutamanya apabila lebih ramai pekerja Mexico boleh membantu menangani masalah kekurangan buruh di Amerika.
Walaupun terdapat persetujuan untuk cuba meningkatkan undang-undang penghijrahan, belum dapat dipastikan sejauh mana pentadbiran Biden akan menggesa Mexico menghalang warga yang menyeberang ke Amerika secara haram.