Amerika mahu haramkan jualan kereta keluaran China, Rusia
Amanz
Januari 16, 2025 14:30 MYT
Januari 16, 2025 14:30 MYT
JOE Biden menghabiskan hari-hari terakhir beliau sebagai Presiden Amerika Syarikat dengan meluluskan beberapa lagi arahan pengharaman teknologi ke atas China dan Rusia.
Terkini, Rumah Putih sedang memuktamadkan arahan yang bakal mengharamkan jualan kereta dengan ciri pintar keluaran China dan Rusia di Amerika Syarikat.
Dalam arahan yang akan diumumkan kelak, semua “kereta berhubung” dengan perkakasan dan perisian yang dibangunkan serta dikilangkan oleh kedua-dua negara ini tidak lagi boleh diimport masuk.
Ini adalah termasuk sistem sambungan kenderaan (VCS) seperti modul blueooth, selular, satelit, dan WiFi. Turut diharamkan sistem sistem pemanduan automatik (ADS) yang kini sudah menjadi ciri standard pada kereta di pasaran.
Sekatan ke atas perisian akan berkuat kuasa untuk model tahun 2027 dan sekatan ke atas perkakasan akan berkuat kuasa untuk model tahun 2030.
Peraturan ini juga termasuk larangan penjualan kereta berhubung di Amerika Syarikat oleh entiti yang dimiliki, dikawal oleh atau tertakluk kepada bidang kuasa atau arahan China atau Rusia.
Oleh sebab itu, kenderaan buatan Amerika Syarikat juga tidak boleh dijual di pasaran domestik sekiranya menggunakan perkakasan dan perisian yang mempunyai hubungan dengan China atau Rusia.
Tempoh sehingga enam tahun yang diberikan ini dilihat sebagai memberikan masa kepada pengeluar kenderaan tempatan untuk mencari rantaian bekalan baharu untuk komponen yang digunakan.
Arahan pada waktu ini hanya terpakai pada kereta bersambung tetapi Rumah Putih mengatakan mereka telah memulakan usaha untuk ia turut dikenakan pada kenderaan komersil seperti trak dan bas dengan berat melebihi 4,500 kilogram.
Ini sekali gus akan menghalang BYD daripada terus menjual bas elektrik mereka yang kini digunakan secara meluas di beberapa bandar raya utama di Amerika Syarikat. - Amanz