Amerika 'lengah masa’ beri ruang Israel teruskan genosid di Palestin - Hamas

Agensi
Ogos 19, 2024 07:30 MYT
Hamas mengulangi pendirian hanya akan bersetuju dengan rundingan gencatan senjata yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden beberapa bulan lalu. - Gambar fail REUTERS
HAMAS mengulangi pendirian hanya akan bersetuju dengan rundingan gencatan senjata yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan "yang telah kami persetujui beberapa bulan lalu," kata jurucakapnya, Osama Hamdan.
Kenyataan Osama itu dikeluarkan selepas Setiausaha Negara AS, Antony Blinken menggesa pasukan pejuang Palestin itu untuk menerima cadangan gencatan senjata terbaharu yang dikemukakan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
"Kami hanya akan bersetuju dengan pelaksanaan cadangan Biden, yang kami setujui beberapa bulan lalu," kata Hamdan kepada Al Jazeera.
“Orang Israel telah berundur daripada isu yang termasuk dalam cadangan Biden. Perbincangan Netanyahu tentang bersetuju dengan cadangan yang dikemas kini menunjukkan bahawa pentadbiran AS telah gagal meyakinkannya untuk menerima perjanjian sebelumnya."
Biden membentangkan cadangan gencatan senjata tiga fasa dalam ucapan pada 31 Mei lalu.
Washington dan pengantara serantau sejak itu cuba mengatur perjanjian gencatan senjata bagi tawanan
Gaza tetapi telah menghadapi halangan berulang kali.
Lebih-lebih lagi, kata Osama, AS "hanya melengahkan masa untuk Israel meneruskan pembunuhan beramai-ramai."
Hamas sebelum ini telah menegaskan bahawa perjanjian gencatan senjata mesti menyebabkan perang di Gaza ditamatkan secara kekal dan pengunduran tentera Israel. - Al Jazeera
#Perang Palestin-Israel #gencatan senjata #genosid di Palestin #Hamas