Amerika jual “kad emas” AS$5 juta kepada orang kaya warga asing untuk peroleh kewarganegaraan

Agensi
Februari 26, 2025 08:00 MYT
Menurut Trump, penjualan kad emas itu akan bermula dalam tempoh dua minggu dan menjangkakan jutaan kad ini boleh dijual. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Donald Trump mengumumkan, Amerika Syarikat (AS) akan menjual apa yang ditakrif sebagai “kad emas” kepada orang kaya dari negara luar, yang memberi hak kepada mereka untuk tinggal dan bekerja di negara itu serta menawarkan laluan ke arah memperoleh kewarganegaraan.
Peluang untuk memperoleh keistimewaan itu perlu dilunaskan dengan pembayaran AS$5 juta (RM22 juta), umum Presiden AS itu.
“Kami akan menjual kad emas,” kata Trump dari Pejabat Oval.
“Anda ada kad hijau. Ini adalah kad emas. Kami akan menetapkan harga untuk kad itu sekitar AS$5 juta dan ini akan memberi anda hak istimewa seperti kad hijau, serta menjadi laluan ke arah kewarganegaraan. Dan orang kaya akan datang ke negara kita dengan membeli kad ini.”
Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick menjelaskan, kad emas ini akan menggantikan program visa pelabur imigran EB-5 yang sedia ada.
“Mereka tetap perlu melalui proses saringan,” kata Lutnick, “untuk memastikan mereka adalah warga global yang hebat dan berkelas dunia.”
Trump menambah, penjualan kad tersebut akan bermula dalam tempoh dua minggu dan menjangkakan jutaan kad ini boleh dijual.
“Dari sudut undang-undang, ia sepenuhnya sah untuk dilakukan,” tambahnya.
Apabila ditanya sama ada beliau akan mempertimbangkan untuk menjual kad ini kepada orang kaya Rusia, Trump menjawab: “Ya, mungkin. Saya kenal beberapa orang berpengaruh Rusia yang sangat baik.” - Agensi
#kad emas #orang kaya warga asing #Donald Trump #kewarganegaraan
;