Amerika dakwa pemimpin Hamas cetus serangan ke atas Israel 7 Oktober 2023
Agensi
September 3, 2024 07:00 MYT
September 3, 2024 07:00 MYT
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mendakwa pemimpin Hamas, Yahya Sinwar dan beberapa tokoh utama lain dalam kumpulan pejuang Palestin itu berhubung serangan ke atas Israel pada 7 Oktober tahun lalu.
Jabatan Kehakiman AS mengumumkan, mereka mendakwa enam anggota Hamas dengan jenayah termasuk pembunuhan warganegara AS, konspirasi untuk membiayai keganasan dan penggunaan senjata pemusnah besar-besaran.
Peguam Negara AS, Merrick Garland mendakwa, Hamas juga telah "melakukan pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi paling dasyhat sejak Holocaust" semasa serangannya tahun lalu di selatan Israel.
Ini merupakan langkah pertama penguatkuasa undang-undang AS untuk menahan pemimpin utama serangan itu, walaupun sehingga kini tiga daripada mereka yang dinamakan dalam dakwaan berkenaan telah meninggal dunia, sementara Sinwar dipercayai bersembunyi di dalam terowong di Gaza.
Dalam satu kenyataan video, Garland mendakwa, Hamas bertanggungjawab untuk "membiayai dan mengarahkan kempen selama berdekad-dekad untuk membunuh rakyat Amerika dan membahayakan keselamatan Amerika Syarikat."
Kumpulan itu juga didakwa "mengetuai usaha Hamas untuk memusnahkan negara Israel dan membunuh orang awam bagi menyokong matlamat itu."
Dakwa beliau lagi, serangan 7 Oktober ke atas Israel oleh Hamas menyaksikan kumpulan itu "membunuh seluruh ahli keluarga."
"Mereka membunuh orang tua dan kanak-kanak kecil. Mereka menggunakan keganasan seksual terhadap wanita sebagai senjata."
Tambah Garlanda, semasa serangan itu, Hamas "membunuh lebih 1,200 orang" dan "melakukan pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi paling dasyhat sejak Holocaust."
Pemimpin Hamas lain yang didakwa termasuk bekas pemimpin Ismail Haniyeh, Marwan Issa, timbalan ketua sayap bersenjata pertubuhan itu; Khaled Mashaal, yang mengetuai kumpulan itu di luar Gaza dan Tebing Barat; Mohammed Deif dan Ali Baraka.
Tuduhan itu juga termasuk konspirasi untuk mengebom tempat kegunaan awam yang mengakibatkan kematian, konspirasi membiayai keganasan dan sokongan material untuk tindakan keganasan yang mengakibatkan kematian.
Aduan Jabatan Kehakiman menyatakan bahawa semua "defendan sama ada telah meninggal dunia atau masih bebas."
Peguam Negara merujuk dalam ucapannya mengenai pembunuhan tebusan Amerika-Israel minggu lalu, Hersh Goldberg-Polin, 23, selain 40 lagi warga Amerika yang terbunuh dalam serangan 7 Oktober dan lapan tebusan.
“Kami sedang menyiasat pembunuhan Hersh dan setiap satu pembunuhan kejam Hamas terhadap rakyat Amerika, sebagai satu tindakan keganasan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Christopher Wray berkata, Hamas diklasifikasikan di AS sebagai organisasi pengganas asing "dengan sejarah keganasan yang panjang, dan tindakan kumpulan itu telah mengakibatkan peningkatan ancaman keganasan di AS dan terhadap kepentingan Amerika di seluruh dunia."
Pegawai AS turut menyebut menyatakan peranan yang dimainkan Iran dalam menyokong Hamas.
“Serangan Hamas telah memainkan peranan penting dalam kempen serantau dan global kerajaan Iran untuk menyokong keganasan untuk melemahkan dan akhirnya memusnahkan kedua-dua Amerika Syarikat dan Israel,” dakwa kenyataan Jabatan Kehakiman AS lagi.
Jika sabit kesalahan, kumpulan itu berdepan hukuman maksimum penjara seumur hidup atau hukuman mati.
Tuduhan tersebut difailkan pada Februari lalu, tetapi disimpan di bawah arahan rahsia sehingga Selasa untuk memberi peluang kepada AS untuk menangkap mana-mana tertuduh, kata seorang pegawai Jabatan Kehakiman yang tidak dinamakan kepada CBS News|.
"Berikutan kematian Haniyeh dan perkembangan terkini di rantau ini, tidak lagi perlu untuk mengekalkan pertuduhan itu di bawah arahan rahsia," kata pegawai itu.
Pada hujung minggu lalu, Presiden AS, Joe Biden mengutuk pembunuhan Hamas terhadap Goldberg-Polin.
"Jangan silap, pemimpin Hamas akan membayar untuk jenayah ini," kata Biden.
Sementara itu, United Kingdom mempertahankan keputusannya untuk mengharamkan beberapa penjualan senjata kepada Israel atas kebimbangan tentang bagaimana ia mungkin digunakan di Gaza.
Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh kira-kira 1,200 orang selain menawan 251 orang sebagai tebusan.
Dalam tindak balasnya, Israel telah membunuh lebih 40,000 rakyat Palestin di Gaza dan sehingga ke hari ini, kempen ketenteraan Zionis itu tidak berkesudahan. - Agensi