Amerika, China ikrar stabilkan hubungan menerusi perjanjian sederhana
Agensi
November 16, 2023 09:00 MYT
November 16, 2023 09:00 MYT
SAN FRANCISCO: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan Presiden China, Xi Jinping pada Rabu berikrar menstabilkan hubungan kedua-dua negara menerusi perjanjian sederhana untuk memerangi penggunaan fentanyl (ubat tahan sakit jenis narkotik opioid) dan mewujudkan semula komunikasi tentera.
Pertemuan empat mata yang pertama untuk kedua-dua pemimpin dunia sejak setahun lalu itu berlaku di Filoli Estate iaitu sebuah rumah desa dan muzium kira-kira 25 batu (40 kilometer) di selatan San Francisco, sempena persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC 2023).
Kedua-dua pemimpin menghabiskan empat jam menghadiri mesyuarat, jamuan tengah hari dan sesi berjalan di taman bertujuan untuk menunjukkan kepada dunia bahawa dua kuasa ekonomi global itu tidak terikat dalam pertembungan kuasa.
Menurut Biden, adalah amat penting untuk Amerika dan China memahami antara satu sama lain.
"Saya fikir adalah penting bagi Xi dan saya memahami antara satu sama lain dengan jelas, pemimpin kepada pemimpin, tanpa salah tanggapan. Kami perlu memastikan persaingan tidak berubah menjadi konflik," ujar Biden kepada rakan sejawatannya itu.
Sementara itu, Xi juga menegaskan bahawa Bumi cukup besar untuk kedua-dua negara (AS dan China) memperoleh ruang dan peluang untuk kemakmuran ekonomi.
Selain itu, menurut seorang Pegawai Kanan AS, Biden dan Xi turut mencapai persetujuan untuk mengekang penghasilan dan pengeluaran fentanyl secara haram dan membuka semula hubungan ketenteraan.
Ia susulan kebanyakan bahan kimia yang digunakan untuk membuat fentanyl sintetik datang dari China dan diterima oleh kartel yang mengedarkan dadah itu ke AS yang seterusnya menyebabkan peningkatan kes penggunaan dadah tersebut di negara Uncle Sam itu.
Dalam konteks komunikasi dan hubungan ketenteraan pula, pegawai berkenaan berkata, Biden dan Xi memberi penekanan terhadap kepentingan menyambung semula rundingan susulan peningkatan insiden yang tidak profesional melibatkan aset kedua-dua negara.
Biden juga memberi penegasan kepada Xi bahawa AS ingin China menggunakan kuasanya ke atas Iran untuk menjelaskan bahawa Tehran atau proksinya tidak seharusnya mengambil tindakan yang boleh membawa kepada perluasan perang Israel-Hamas.
Kedua-dua pemimpin juga mengakui kepentingan hubungan mereka dan keperluan untuk penyelarasan yang lebih baik.
Xi turut mendapatkan jaminan daripada Biden bahawa AS tidak akan menyokong kemerdekaan Taiwan, memulakan Perang Dingin baharu atau menyekat pertumbuhan ekonomi China.
Dalam masa sama, Xi juga berminat untuk menunjukkan kepada AS bahawa China masih tempat yang baik untuk melabur.
Sebagai reaksi balas, meskipun Biden dijangka mempertahankan perluasan kawalan eksport AS ke atas cip semikonduktor, beliau juga memberi jaminan kepada Xi bahawa AS tidak cuba melancarkan perang ekonomi dengan Beijing. - Agensi