"Amerika bukan Kanada" - Mark Carney bidas ancaman AS

Agensi
Mac 10, 2025 09:00 MYT
Carney menarik perhatian dengan memberi amaran AS akan memusnahkan cara hidup rakyat Kanada jika berjaya memperoleh apa yang mereka mahukan dari Kanada. - Gambar Reuters
OTTAWA: Mark Carney yang bakal menerajui Kanada sebagai Perdana Menteri menggantikan Justin Trudeau menegaskan, negara itu memerlukan "idea dan pelan baharu" dalam berhadapan cabaran masa depan.
Bekas Gabenor Bank Pusat Kanada itu yang dipilih menerajui Parti Liberal pada Ahad berkata, rakyat Kanada mahukan kepimpinan positif yang akan menamatkan perpecahan dan membantu membina masa depan bersama.
Dalam ucapan sulung selepas dinamakan sebagai pengganti Trudeau, Carney dalam nada tegas turut menyentuh mengenai hubungan Kanada dengan Amerika Syarikat (AS).
Kanada pada ketika ini sedang berhadapan perang dagangan dengan sekutu lamanya, AS.
Sehubungan itu, Carney menarik perhatian dengan memberi amaran AS akan memusnahkan cara hidup rakyat Kanada jika berjaya memperoleh apa yang mereka mahukan dari Kanada.
Carney berkata, Amerika "mahu sumber kita, air kita, tanah kita, negara kita".
"Fikirkanlah. Jika mereka berjaya, mereka akan memusnahkan cara hidup kita," kata Carney.
Beliau juga membandingkan sistem penjagaan kesihatan kedua-dua negara dengan menekankan di AS, ia adalah perniagaan besar, manakala di Kanada, ia merupakan hak asasi.
"Amerika adalah kawah pelbagai budaya (melting pot). Kanada adalah mozek (kepelbagaian budaya di mana pelbagai kumpulan etnik, agama dan budaya hidup bersama dalam satu negara dan mengekalkan identity serta budaya masing-masing).
"Amerika bukan Kanada. Kanada tidak akan pernah menjadi sebahagian daripada Amerika dalam apa jua bentuk," ujarnya.
Carney turut menegaskan, langkah balas tarif terhadap Amerika Syarikat akan kekal sehingga Washington bersetuju dengan perdagangan bebas yang adil.
Mengenai ancaman tarif oleh Presiden AS Donald Trump, Carney menegaskan:
"Kita tidak boleh membiarkan dia (Trump) berjaya dan kita tidak akan," katanya, sebelum mengulangi slogan, "Kita adalah Kanada yang kuat."
Beliau menegaska, Kanada bertindak betul dengan mengenakan tindakan balas terhadap AS dan tidak akan menarik balik langkah tersebut sehingga Washington menunjukkan komitmen yang boleh dipercayai terhadap perdagangan bebas dan adil.
Carney turut mengumumkan rancangan baharu untuk memperkukuh ekonomi dan menjalin hubungan erat dengan rakan dagangan yang "boleh dipercayai" sambil menekankan kepentingan keselamatan sempadan Kanada.
Tidak ketinggalan, Carney mengulangi beberapa janji kempennya termasuk penghapusan cukai karbon ke atas isi rumah dan penghentian kenaikan cukai keuntungan modal - yang mendapat sorakan gemuruh daripada penyokongnya. - Agensi
#mark carney #Justin Trudeau #PM baharu Kanada #ancaman Amerika
;