American Samoa pula dilanda wabak demam campak
Razak Chik
Disember 8, 2019 05:01 MYT
Disember 8, 2019 05:01 MYT
SELANG beberapa hari kepulauan Samoa mengisytihar darurat akibat wabak demam campak, kini pulau berhampiran American Samoa pula dilanda wabak sama.
Walaupun belum ada laporan kematian, sekolah diarah ditutup dan sebarang perhimpunan di kawasan lapang dilarang di American Samoa, pulau yang terletak lebih 200 km jarak dari pulau Samoa.
Samoa ialah negara merdeka manakala American Samoa pula wilayah luar negara (overseas territory) Amerika Syarikat.
Warga American Samoa tidak secara automatik dikira warganegara Amerika Syarikat pada waktu lahir (bermakna mereka yang lahir di American Samoa tidak layak bertanding untuk menjadi Presiden).
Tindakan mengisytihar penularan wabak demam campak ini diambil setelah jirannya Samoa bertindak lebih awal dalam usaha menangani wabak yang sehingga kini sudah meragut 65 nyawa, ramai di antaranya kanak kanak.
Samoa mengambil langkah mengenakan tindakan perintah berkurung untuk memudahkan usaha memberi pelalian wajib kepada rakyatnya yang belum diberi suntikan.
Keadaan wabak diburukkan dengan pengaruh kumpulan pembantah pelalian (anti-vaxxers) yang berkeras tidak setuju, malah membantah usaha pelalian.
Pada Khamis, Samoa menahan Edwin Tamasese, individu pembantah pelalian paling vokal atas tuduhan mengapi-apikan bantahan terhadap usaha kerajaan untuk melakukan usaha pelalian.
Jika didapati bersalah, Tamasese akan menghadapi hukuman penjara dua tahun.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan demam campak kini disifatkan sebagai wabak sejagat dengan hampir 10 juta mangsa dicatat pada 2018 – menyebabkan 140,000 kematian, kebanyakannya kanak kanak.
Untuk 2019, setakat bulan November, jumlah penularan demam campak sudah meningkat tiga kali ganda.
Kerajaan Samoa bersama Bangsa Bangsa Bersatu kini melancarkan pengumpulan dana berjumlah lebih dari AS$10 juta untuk menangani wabak demam campak ini di pulau itu,
Negara maju seperti Jerman dan Amerika Syarikat turut dilanda wabak demam campak, terutama akibat usaha pembantah pelalian yang mendakwa suntikan pelalian menambah kebarangkalian kewujudan autisme.
#American Samoa
#anti-vaxxer
#demam campak
#Edwin Tamasese
#pelalian
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#Samoa
#WHO