Ambulans sumbangan rakyat Malaysia beri sinar baru di Syria
Hilal Azmi
Januari 19, 2014 08:00 MYT
Januari 19, 2014 08:00 MYT
Hasil sumbangan rakyat Malaysia telah memberikan sinar baru kepada tahap kesihatan lebih 150,000 rakyat di pinggiran bandar Aleppo.
Ambulans pertama yang dilengkapi sistem rawatan kecemasan asas telah dihantar ke salah sebuah pusat rawatan di sini.
Terpancar kelegaan buat Dr Anas yang menjadi orang kuat kepada satu-satunya pusat rawatan kesihatan yang turut disokong oleh beberapa rakan sekerja yang bertugas setiap hari.
Bagi mereka, rawatan kecemasan penting dalam situasi pergolakan yang memuncak di Syria sejak tahun baru lalu.
Di samping kehadiran musim sejuk ekstrim pada tahun ini, usaha memberikan rawatan kecemasan terutamanya kes melahirkan anak kini lebih selesa dengan bantuan yang dihulur rakyat Malaysia melalui Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Malaysia Life Line For Syria (MLLFS).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Ketua Misi MAPIM, musim sejuk ekstrim kali ini menyebabkan ramai yang terkorban malah, banyak bayi ketiadaan ibu akibat tiada rawatan kecemasan diberikan.
Tambah beliau, sebanyak 2 buah ambulans lagi bakal tiba untuk beberapa pusat kesihatan berdekatan dalam usaha menambah baik keperluan kesihatan peduduk setempat.
Misi Bantuan Kecemasan Syria (siri musim sejuk) telah berjaya memasuki sempadan Syria sejak 19 Januari lepas dalam usaha menyampaikan bantuan yang diperlukan sepanjang musim sejuk kali ini.