Amboi, gaya mesti menang! Kim Jong Un diberi imej ala 'Top Gun' sewaktu lancar peluru berpandu
Agensi
Mac 26, 2022 12:34 MYT
Mac 26, 2022 12:34 MYT
PYONGYANG: Media Korea Utara sememangnya akan memaparkan imej ‘keperwiraan’ pemimpin mereka, Kim Jong Un, untuk menarik perhatian dunia.
Terbaru, individu nombor satu Korea Utara itu dilihat segak dengan memakai jaket kulit hitam berkilat dan mengenakan cermin mata hitam model aviator.
Semua itu untuk rakaman video ala Hollywood sewaktu pelancaran peluru berpandu terkini di Pyongyang. Itu termasuk penggunaan kesan khas digital untuk memantapkan lagi penyampaian maklumat kerajaan, lapor Reuters.
Pada Khamis lalu, Korea Utara menguji kuasa peluru berpandu balistik antara benua yang direka untuk menunjukkan kekuatan senjata nuklear negara berkenaan, khususnya dalam berdepan sebarang tindakan tentera Amerika Syarikat.
Stesen penyiaran negara itu menayangkan sebuah video yang diterbitkan dengan suntingan kesan khas tambahan. Pengkritik dalam talian malah membandingkan video itu dengan filem Top Gun dan juga video muzik K-pop Gangnam Style.
Jong Un yang memakai jaket kulit dan bercermin mata hitam, diiringi pegawai tentera beruniform, di tunjukkan sedang berjalan dalam gerak perlahan seiring visual pintu hangar yang terbuka dan mendedahkan peluru berpandu yang besar.
Runut bunyi yang mendebarkan juga mengiringi visual antara Jong Un dan para pegawainya yang melihat jam tangan masing-masing, sebelum Jong Un mengalih cermin matanya, dan seterusnya mengangguk sebagai tanda misi pelancaran itu diteruskan.
Seorang pegawainya kemudian menjerit “Fire!” dalam gerak perlahan, sebelum diganti syot seorang tentera mengibas bendera, sambil seseorang menekan butang pelancaran.
Api pun bersemarak dan peluru berpandu dilancar ke udara.
Selepas peluru berpandu itu hilang dari syot, Jong Un dilihat meraikan detik itu bersama dua pegawai kanannya sambil bersorak dan mengangkat tangan.
Siaran video khas itu kini mencetuskan banyak meme dan suntingan remix dalam talian, yang menamakan aksi itu sebagai "Top Kim Jong Un" mahupun "Pyongyang Style".