Ambil tanah Palestin, semua perjanjian akan berakhir - Abbas

Bernama
September 11, 2019 13:36 MYT
Abbas menegaskan, rakyat Palestin berhak mempertahankan hak mereka dan mereka akan berusaha mencapai matlamat walau dengan apa cara sekali pun. - Gambar fail
Andai Israel merampas sebahagian Tebing Barat yang diduduki, semua perjanjian yang dimeterai dengan rejim zionis itu akan berakhir, kata Presiden Palestin Mahmoud Abbas dalam satu kenyataan.
"Kesemua perjanjian berakhir jika Israel menguasai Lembah Yordania, bahagian utara Laut Mati dan mana-mana bahagian wilayah Palestin yang diduduki pada 1967," ujarnya lapor agensi berita Anadolu.
Kenyataan Abbas sebagai reaksi balas kepada pengumuman Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, yang beliau akan menggabungkan Lembah Jordan dan beberapa penempatan andai memenangi pilihan raya Israel minggu depan.
Tegas beliau rakyat Palestin "berhak untuk mempertahankan hak mereka dan akan berusaha mencapai matlamat kita walau dengan apa cara sekali pun."
Kenyataan Netanyahu bercanggah dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa, tambahnya.
Netanyahu berkata Israel akan memberikan kedaulatan ke atas Lembah Jordan dan penempatan lain di Tebing Barat. Pilihan raya Israel akan diadakan pada 17 September.
Dianggarkan seramai 650,000 penduduk Yahudi Israel mendiami di lebih 100 penempatan yang dibina sejak 1967, ketika rejim zionis itu menduduki Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
Palestin mahukan wilayah-wilayah ini - bersama dengan Semenanjung Gaza - bagi mewujudkan negara Palestin.
Di bawah undang-undang antarabangsa sebarang aktiviti pembangunan penempatan Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, adalah haram.
-- BERNAMA
#Benjamin Netanyahu #Gaza #Israel #Jordan #Mahmoud Abbas #Palestin #PBB #penempatan Yahudi #pilihan raya #resolusi #Semenanjung Gaza #Tebing Barat #undang-undang #Zionis
;