Ambil kesempatan, bukan ragui perubahan sikap Korea Utara - Tun Mahathir
Astro Awani
Jun 11, 2018 15:05 MYT
Jun 11, 2018 15:05 MYT
Dunia tidak seharusnya meragui perubahan sikap yang ditonjolkan pemerintah Korea Utara, Kim Jong Un, malah seharusnya mengambil kesempatan darinya, kata perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Berucap pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei kali ke-24, di sini hari ini, Tun Mahathir berkata, Korea Utara kini telah berubah.
“Kini Korea Utara telah melakukan usaha di pihak mereka, kita (dunia) tidak seharusnya meragui dan mengambil kesempatan dari perubahan sikap ini,” katanya.
Tun Mahathir menjawab soalan dari Ketua Editor Nikkei Asian Review, Sonoko Watanabe yang bertanyakan apakah pendirian Malaysia berhubung Sidang Kemuncak Amerika Syarikat-Korea Utara yang bakal berlangsung esok.
Ini ditambah lagi dengan insiden pembunuhan abang tiri pemimpin tertinggi Korea itu, Kim Jong Nam yang berlaku di Malaysia.
Tambah Dr Mahathir, Korea Utara bukan satu-satunya negara yang melakukan pembunuhan, malah negara lain turut mengamalkannya.
“Sekiranya kita terus mengecam, Korea Utara akan bersikap tidak mesra terhadap banyak negara.”
Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dan presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan mengadakan pertemuan sempena Sidang Kemuncak 'damai nuklear' yang akan diadakan di Hotel Capella di Singapura, pada Selasa ini.
#kim jong nam
#Korea Selatan
#Korea Utara
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#North Korea
#Perdana Menteri
#Singapore
#Singapura