Ambil inspirasi tempe, pembuat jam Indonesia beralih ke material 'kulit cendawan'
Agensi
Oktober 31, 2019 20:33 MYT
Oktober 31, 2019 20:33 MYT
Sebuah syarikat pembuat jam tangan di Bandung, Indonesia memikirkan kaedah seterusnya dalam aspek kelestarian apabila menghasilkan tali jam yang diperbuat daripada struktur rumit kulat atau cendawan.
Material kulit mycelium itu sangat berserat dan kuat namun masih boleh dibentuk dan kalis air. Kewujudannya telah diangkat sebagai pilihan yang mesra alam sekitar, sekali gus alternatif bagi produk sintetik atau kulit haiwan, lapor Reuters.
Ketua penyelidik di Mycotech, Erlambang Ajidarma, syarikatnya membekal material mycelium untuk menghasilkan tali jam. Pasukannya bertungkus-lumus menghasilkan serat yang mengambil inspirasi pembuatan tempe, dengan memeram bijian soya dengan unsur kulat.
"Akhirnya kami menemui sejenis cendawan dengan unsur mycelium yang boleh digunakan sebagai bahan perekat,” ujarErlambang yang sudah menguji pelbagai jenis cendawan sejak tahun 2016.
Kini, syarikat itu membiakkan kulat dari serbuk kayu sebelum menuainya. Ia kemudian dikeringkan dan dikerat kepada saiz berbeza mengikut kegunaan.
Proses itu sangat rumit, iaitu mengambil tempoh selama tiga minggu hanya untuk mendapatkan material berukuran 10 meter persegi.
Erlambang berpendapat itu sangat berbaloi. Penghasilan kulit mycelium melibatkan kos yang kurang berbanding kulit sintetik yang berasas petroleum, selain tidak membebaskan terlalu banyak karbon dioksida sepanjang prosesnya berbanding industri kulit haiwan.
Pasukan Mycotech juga menggunakan pewarna yang diekstrak daripada daun, akar dan sisa makanan. Kulit mycelium menyerap warna lebih pantas berbanding kulit lembu.
Syarikat pembuat jam Pala Nusantara memotong dan menjahit kulit itu menjadi tali jam yang disambung dengan pemuka jam yang menggunakan kerangka kayu.
Menurut Pengarah Urusan Pala Nusantara, Andang Maulana Syamsuri, jam tangan yang berharga antara 900,000 hingga 1.3 juta Rupiah (RM268 hingga RM387) itu kebanyakannya dijual di atas talian.