Amazon mohon maaf, akui pekerja terpaksa buang air kecil dalam botol kerana sibuk bekerja

Astro Awani
April 4, 2021 12:18 MYT
Laman web The Intercept mengatakan bahawa mereka telah memperoleh dokumen dalaman yang menunjukkan pegawai eksekutif Amazon mengtahu berkenaan masalah tersebut. - Foto REUTERS
SYARIKAT e-dagang terkemuka, Amazon meminta maaf kepada seorang penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) selepas menafikan ada pekerjanya terpaksa membuang air kecil di dalam botol kerana terlalu sibuk bekerja.
Baru-baru ini, Amazon dan Mark Pocan, seorang wakil Demokrat dari Wisconsin berbalas ciapan di akaun Twitter masing-masing berhubung isu berkenaan.
Ia bermula dengan ciapan Pocan:
“Membayar pekerja anda AS$15 per jam tidak menjadikan anda ‘tempat kerja yang progresif’ ketika ada pekerja anda terpaksa membuat air kecil di dalam botol air,” ciapnya.
Ciapan itu adalah respons kepada penentangan Amazon terhadap usaha menyatukan kemudahan utama di Alabama.
Akaun rasmi Amazon kemudian pantas menjawab: “Anda tidak benar-benar mempercayai kencing dalam botol, bukan? Sekiranya itu benar, tiada yang akan bekerja untuk kami.”
Begitupun, beberapa media kemudian mendedahkan ramai pekerja Amazon mendakwa mereka tidak mempunyai banyak pilihan selain menggunakan botol plastik.
Laman web The Intercept mengatakan bahawa mereka telah memperoleh dokumen dalaman yang menunjukkan pegawai eksekutif Amazon mengetahui berkenaan masalah tersebut.
“Kami memohon maaf kepada Pocan,” kata Amazon dalam satu kenyataan pada Jumaat.
“Ciapan itu tidak betul. Itu tidak mewakili populasi pemandu kami yang ramai sebaliknya hanya tertumpu di pusat pengumpulan kami yang mempunyai puluhan tandas dan boleh digunakan pada bila-bila masa.”
Tambah Amazon lagi: “Kami tahu bahawa pemandu boleh dan menghadapi masalah untuk mencari tandas kerana keadaan lalu lintas atau kadang-kadang berada di kawasan luar bandar.
“Keadaan (buang air dalam botol) berlaku terutamanya ketika COVID-19 kerana banyak tandas awam ditutup,” jelasnya.
Begitupun, Amazon memberi jaminan mereka akan cuba menyelesaikan masalah tersebut.
#Amazon #pemandu #Lori #barang #pengumpulan #Amerika Syarikat #AS #Twitter #COVID-19 #undang-undang #hantar barang #tandas #buang air #botol
;